Belajar korbankan kepentingan diri sendiri – Khairil Nizam

0
1
ir khairil nizam

KORBANKAN keinginan peribadi dan terus teguh bersama kerajaan memerangi Covid-19 dengan meningkatkan kadar vaksinasi di negara kita.

Demikian disarankan Ketua Dewan Pemuda PAS, Khairil Nizam Khiruddin sempena Aidiladha kali ini yang dinyatakan menerusi satu hantaran di Facebooknya.

“Bersempena Aidiladha 1442H yang penuh makna ini, marilah kita belajar untuk bersedia mengorbankan segala bentuk kepentingan diri sendiri demi kebaikan dan kemaslahatan awam.

“Khususnya ketika negara sedang berhadapan dengan peperangan melawan Covid-19 yang mengganas ketika ini,” katanya.

Khairil Nizam yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata pihaknya sedih kerana di saat negara sedang berperang dengan Covid-19, ada yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Rentas daerah tanpa permit, memalsukan surat MITI, mengatur langkah politik demi kuasa serta tidak patuh kepada SOP yang ditetapkan oleh MKN demi kepentingan peribadi serta diri sendiri,” katanya.

Katanya, semua pihak wajib mengambil ibrah daripada kisah Nabi Allah, Ibrahim AS yang tabah serta ikhlas tatkala diperintah oleh Allah SWT untuk meninggalkan anak dan isteri di padang pasir kering kontang serta tidak berpenghuni.

Lebih dasyat lagi katanya, apabila anak Nabi Ibrahim AS sudah mula meningkat usia, Allah menguji pula keikhlasan Nabi Ibrahim AS dengan perintah untuk menyembelih anaknya yang dikasihi.

“Meskipun kedua-dua perintah daripada Allah SWT di atas sangat-sangat berat, namun di atas dasar iman dan taat, Nabi Ibrahim AS sedia mengorbankan kepentingan bersifat peribadi berbanding dengan suruhan daripada Allah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here