ADUN Teratai, Bryan Lai Wai Chong bersama 28 individu yang ditahan kerana didakwa memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis, Pahang, tanpa permit semalam, dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata kumpulan individu terbabit termasuk lapan wanita dari Selangor dan Kuala Lumpur dibebaskan selepas pegawai penyiasat selesai mengambil keterangan mereka.
Katanya, kumpulan terbabit disiasat kerana memasuki hutan simpan berkenaan tanpa kebenaran dan gagal mendapatkan permit.
“Polis kini sedang menyiapkan kertas siasatan dan kesemua 29 individu termasuk ADUN Teratai dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 3 pagi, hari ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Azli berkata, kumpulan terbabit disiasat mengikut Akta 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.
Semalam, Wai Chong antara 29 individu ditahan Jabatan Perhutanan negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Rakoh, Pos Lenjang, Sungai Koyan, Lipis pada jam 8 pagi. – Malaysiapost

