Aidiladha: Polis Bentong kesan cubaan rentas ke Pantai Timur

0
1
jalan raya sjr sekatan

Nilam Oshman

SEHARI sebelum sambutan Aidiladha, masih ada lagi pihak yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi menyambut perayaan berkenaan.

Perkara itu diakui Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar yang menjelaskan pelbagai alasan licik diberikan termasuk mendakwa ada urusan kerja untuk pulang ke Pantai Timur sempena Aidiladha.

Sehubungan itu, katanya, polis terpaksa bertindak tegas dengan mengarahkan mereka berpatah balik sebagai langkah berhati-hati untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

“Setakat ini kita dapati masih ada penyalahgunaan dan cubaan untuk merentas negeri, alasannya mereka berikan atas urusan kerja.

“Bagaimanapun, pihak polis sudah mengarahkan kenderaan-kenderaan terbabit untuk berpatah balik,” katanya kepada Malaysiapost.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 4,839 kenderaan yang cuba melepasi sekatan jalan raya diarah berpatah balik Jumaat lalu, jumlah tertinggi sejak Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan.

Beliau berkata, kenderaan yang diarah berpatah balik itu dipercayai cuba mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung dan mereka yang ingkar mematuhi arahan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan PDRM tidak akan menerima surat kelulusan dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk tujuan merentas negeri bagi tempoh 18 hingga 21 Julai ini.

Katanya, larangan pergerakan merentas negeri menggunakan kelulusan MITI itu dibuat bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakannya untuk sambutan Aidiladha. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here