“SAYA tidak berputus asa untuk memerangi kilang-kilang yang degil ini,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Timbalan Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan kilang yang melanggar arahan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
Malah, katanya, perkara itu telah ditegaskan beliau berkali-kali sebelum ini, namun masih kilang yang mengingkarinya.
“Hari ini saya menyertai OP Patuh membuat pemeriksaan terhadap dua kilang di Selangor.
“Saya difahamkan kedua-dua kilang ada kesalahan melanggar arahan dan SOP. Pihak PDRM pasti akan mengambil tindakan sepatutnya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.
Bagi memastikan kilang serta semua premis lain mematuhi SOP ditetapkan, Ismail Sabri berkata Op Patuh akan diteruskan dengan membuat pemeriksaan pematuhan terhadap kilang serta operasi perniagaan yang lain.
“Tindakan tegas pasti diambil termasuk penutupan kilang dan kompaun jika didapati melanggar arahan dan SOP,” katanya. – Malaysiapost

