Kerasnya hati kalian…

0
1

PIHAK tidak bertanggungjawab yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan larangan rentas negeri atau daerah untuk sambutan Aidiladha, ternyata tidak mengambil iktibar daripada peningkatan kes Covid-19 ketika Aidilfitri lalu.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, berkata mereka yang berbuat demikian tidak mempedulikan keselamatan nyawa orang lain dengan sanggup rentas negeri keluar dari kawasan wabak dan masuk kawasan kurang wabak.

“Tidak serikkah kalian dengan sejarah musim Aidilfitri lalu? Dipesan untuk tangguh rentas negeri untuk mengelakkan penularan lagi besar. Tapi tidak berbekas. Kerasnya hati kalian. Akhirnya kes mencanak naik.

“Sambutan Aidiladha seolah-olah mengundang situasi sama. Masih berduyun-duyun untuk rentas negeri pulang ke kampung,” luahnya di Facebook malam tadi.

Menurutnya, di Terengganu selama tiga minggu pihaknya berjaya mengekalkan angka kes harian dua digit sahaja sebelum ini, tetapi dalam masa dua minggu sahaja, lapan kluster baru dikesan di Terengganu gara-gara rentas negeri.

“Apa kalian fikir kalian atau orang lain kebal dari jangkitan Covid-19. Jika kalian muda belia dan pertahanan kuat, kalian fikir kategori satu sahaja dan kuarantin 10 hari.

“Tapi kalian lupa ada kumpulan yang perlu dilindungi seperti warga emas dan kanak-kanak kecil yang mungkin mendapat komplikasi serius.

“Kalian fikir kami tidak terkesan dengan situasi begini? Kesalnya kami dan hati kami bagai disiat-siat melihat perkara itu masih berlaku,” katanya.

Beliau berkata, sejarah ketika sambutan Aidilfitri lalu membuktikan biarpun dilarang, aktiviti masak-masak dan berhimpun masih berlaku walaupun dibuat secara senyap membabitkan ahli keluarga sahaja.

“Tapi kalian lupa kluster Covid-19 tidak boleh diam-diam. Sampai masa semua terbongkar. Kalau semua patuh SOP dan tiada aktiviti berhimpun, mana mungkin beberapa keluarga dijangkiti serentak. Datang dari mana jangkitan jika bukan ada yang membawanya.

“Nasi sudah menjadi bubur bila ada ahli keluarga menjadi korban Covid-19. Saat menyedihkan bila anak-anak menjadi yatim piatu. Ada kehilangan datuk nenek atau ayah ibu atau anak-anak atau saudara mara.

“Kenapa kalian tak boleh tangguh seketika sementara varian baru Delta sudah dikesan di seluruh Malaysia termasuk di Terengganu. Kekuatan jangkitan sangat luar biasa,” katanya.

Dr Nor Azimi menyeru semua pihak berfikir dan bertindak bijak untuk sama-sama melindungi diri dan orang lain supaya tidak menjadi punca kepada kluster baharu.

“Kita bukan boleh beri suntikan vaksin serentak kepada ramai orang. Sedangkan Covid-19 mampu menjangkiti serentak ramai orang,” tegasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here