Sidang Parlimen: PH tidak akan bentang usul tidak percaya

0
1
ydpa agong dan pm. muhyiddin yassin

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) menegaskan tiada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri akan dibentangkan gabungan itu pada sidang Parlimen kali ini.

Sebaliknya Ahli Parlimen PH mahu tumpuan diberi hanya kepada masalah rakyat ekoran krisis Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.

Susulan itu, menerusi kenyataan media bersama hari ini, Majlis Presiden PH memberi amaran kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar menghentikan pencabulan institusi demokrasi negara yang bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

Kepimpinan pembangkang itu, meminta diberi ruang untuk berbahas seperti titah pandangan Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun lalu yang menzahirkan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan segera.

Ini bagi membolehkan Ahli-Ahli Dewan Rakyat membahaskan Ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan perbelanjaan berkaitan pandemik Covid-19.

Menurut kenyataan itu, Agong telah menitahkan pandangan sama pada 24 Februari dan 29 Jun lalu, yang dilihat senada aspirasi rakyat yang mahu pengakhiran kemelut pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi dihadapi ketika ini.

“Demi menjunjung titah pandangan Tuanku ini, Ketua Pembangkang pada 12 Julai menghantar usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk membahaskan perkara-perkara yang digesa Tuanku.

“Tidak ada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan oleh PH yang mahu tumpuan diberikan hanya kepada masalah rakyat ekoran krisis COVID-19 dan kemelesetan ekonomi.

“Malangnya kenyataan media Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 15 Julai menyatakan persidangan Dewan Rakyat pada 26 Julai hingga 2 Ogos hanyalah satu persidangan khas bagi mendengar penerangan menteri-menteri tanpa sebarang perbahasan oleh Ahli-Ahli Parlimen,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurut kenyataan itu, PH turut mendesak Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan kerajaan PN agar tidak derhaka terhadap titah pandangan Yang di-Pertuan Agong.

Sebaliknya membuka ruang perbahasan serta membenarkan Parlimen berfungsi semula secara normal dan Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh menunaikan tanggungjawab membela hak rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here