Ibadah korban ditangguhkan di Sarawak tahun ini

0
1

IBADAH korban sempena Aidiladha di Sarawak ditangguhkan tahun ini susulan situasi Covid-19 semasa dan peningkatan kes membabitkan varian yang membimbangkan (VOC) di negeri berkenaan.

Keputusan itu dimaklumkan Majlis Islam Sarawak (MIS) melalui garis panduan sambutan Aidiladha di seluruh negeri bagi tahun 1442H/2021M, yang dikeluarkan hari ini.

Selain ibadah korban, turut tidak dibenarkan ziarah hari raya, aktiviti takbir rumah ke rumah dan rumah terbuka.

“Aktiviti lain yang tidak dibenarkan adalah jamuan makan selepas solat sunat Aidiladha di masjid atau surau dan hanya agihan makanan berbungkus dibenarkan.

“Tahlil selepas solat sunat Aidiladha turut tidak dibenarkan di masjid atau surau dan ziarah kubur juga tidak dibenarkan,” menurut MIS.

MIS bagaimanapun membenarkan takbir hari raya di masjid dan surau bermula Subuh 9 Zulhijah sehingga Asar 13 Zulhijah bagi Takbir Muqayyad yang mengiringi solat.

“Takbir Mursal yang tidak mengiringi solat dibenarkan pada Maghrib 10 Zulhijah (malam raya) sehingga 9 malam dan selepas solat Subuh sehingga solat hari raya,” katanya.

Mengikut garis panduan itu, solat sunat Aidiladha dibenarkan di Masjid Negeri dengan tidak melebihi 500 jemaah; masjid daerah tidak lebih 150 jemaah dan surau tidak lebih 70 jemaah yang kesemuanya termasuk pegawai serta jawatanjuasa pengurusan masjid atau surau.

“Semua prosedur operasi standard (SOP) hendaklah dipatuhi sebagaimana ditetapkan Lembaga Fatwa Negeri Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“MIS dengan kelulusan JPBN boleh mengubah atau meminda garis panduan ini dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan dan pemakaian garis panduan ini berkuatkuasa pada 9 hingga 13 Zulhijah (19 hingga 23 Julai ini),” kata MIS – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here