Masuk hutan simpan tanpa kebenaran, Adun antara 29 ditahan

0
1

JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 29 individu termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Selangor di Kampung Rakoh, Pos Lenjang, Sungai Koyan, dekat Lipis, pagi tadi.

Kumpulan tersebut yang berasal dari Kuala Lumpur dan Selangor difahamkan ditahan kerana memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai, tanpa kebenaran sekitar jam 11 pagi semalam.

JPNP menerusi kenyataan berkata, turut ditahan bersama kumpulan itu adalah Adun Teratai, Bryan Lai Wai Chong yang beralamat di Bandar Mahkota Cheras, Selangor.

“Polis juga menyita 11 kenderaan pacuan empat roda,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan awal mendapati kumpulan tersebut memaklumkan memasuki kawasan berkenaan untuk memberi bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli Pos Lenjang, Lipis.

“Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sungai Koyan untuk saringan kesihatan.

“Seterusnya siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 47 dan 88 Akta Perhutanan Negara, masing-masing keperluan permit memasuki hutan simpan serta kuasa menangkap, menyita dan menyiasat oleh pegawai perhutanan,” katanya.

Menurut JPNP, siasatan masih lagi diteruskan bersama pihak PDRM. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here