Kes baharu ikut kategori patut dibuat lebih awal – Khaled Nordin

0
1

KERAJAAN seharusnya lebih awal menerbitkan data jangkitan kes harian Covid-19 lebih terperinci dengan mencerakinkan setiap kategori berbanding sekadar angka keseluruhan secara umum.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pendedahan terperinci data Kementerian Kesihatan (KKM) membolehkan rakyat tahu dengan jelas dan lengkap keadaan sebenar status jangkitan.

“Ini kerana, mereka yang berada dalam kategori 1 dan 2 sebenarnya mempunyai risiko rendah dan perlu diuruskan dengan cara yang jauh berbeza dengan mereka dalam kategori 3 atau pun 4 dan 5.

“Pendekatan pukul rata diambil kerajaan selama ini bukan sahaja menimbulkan rasa panik, takut dan kerisauan yang berlebihan.

“Malah, menyebabkan kerugian serta kegagalan dalam menguruskan aspek ekonomi. Sedangkan strategi pemulihan ekonomi sangat bergantung kepada data dan sains yang jelas dan terperinci,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan tidak boleh melatah jika terdapat pihak yang mendakwa bahawa keengganan mendedahkan data secara terperinci selama ini bermotifkan politik.

“Misalnya untuk menjustifikasi dan memanjangkan tempoh darurat,” dakwanya.

Justeru, beliau berharap kerajaan akan memberi penekanan lebih serius terhadap data dan bertindak berpandukan data serta sains yang terperinci.

“Bukannya dipimpin oleh pertimbangan lain yang hanya merugikan rakyat dan negara,” kata beliau.

Semalam, KKM mula memperincikan data kes harian Covid-19 mengikut kategori, iaitu kategori 1 hingga kategori 5.

Jumlah kes harian baharu Covid-19 hari ini masih berada pada lima angka dengan 10,710 kes menjadikan keseluruhan kes kini 916,561 kes.

Ia menunjukkan sedikit penurunan berbanding 12,528 kes yang dicatatkan semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here