Usah derhaka, titah Agong mewakili suara rakyat – Pemuda Umno

0
2

KERAJAAN perlu menghormati titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentang dan membahaskan Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu perlu dibahaskan Ahli Parlimen dalam persidangan nanti dan bukan hanya sekadar sesi penerangan daripada menteri-menteri.

“Apabila Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah menitahkan supaya Parlimen bersidang untuk bahaskan dan luluskan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara tentu ada maksud tersurat dan tersiratnya.

“Tuanku sudah tentu sedar dan faham keluhan rakyat mengenai kegagalan Darurat menangani Covid-19 sebagaimana yang diluahkan di merata tempat hingga membawa kepada TITAH yang dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Seri Paduka yang berjiwa rakyat hakikatnya mendengar semua rintihan rakyat sebab itulah titah baginda jelas supaya isu-isu rakyat diperbahaskan.

Katanya, biar rakyat melalui Ahli-Ahli Parlimen tentukan sama ada Proklamasi Darurat dan segala Ordinan yang diluluskan di luar Parlimen kembali diabsahkan.

“Malangnya, titah Tuanku Agong dan Raja-Raja Pemerintah tidak dihormati malah sebelum ini diremehkan sehingga tiga kali perutusan terpaksa dikeluarkan untuk menegaskan polemik Parlimen mesti bersidang ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan kerajaan memenuhi hasrat yang dititahkan Tuanku Agong dan Raja-Raja Pemerintah boleh dipersepsikan sebagai suatu bentuk derhaka.

“Serta menafikan hak Ahli-Ahli Parlimen untuk menentukan keabsahan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan di bawahnya sebagaimana yang dijamin dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, Pemuda Umno mendesak kerajaan menghormati hasrat yang dititahkan Agong dan Raja-Raja Pemerintah untuk membentang, membahaskan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara, bukannya sekadar sesi penerangan daripada Menteri-Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, fakta kegagalan Darurat menangani Covid-19 yang tidak boleh dinafikan termasuk peningkatan kes baharu, kumulatif, kes aktif serta angka kematian akibat Covid-19.

Selain itu, katanya, pelbagai isu sosial rakyat sepanjang darurat antara kadar pengangguran meningkat bahkan ramai dipaksa cuti tanpa gaji.

“Pendapatan rakyat makin kronik, bantuan yang penuh birokrasi, kes bunuh diri meningkat, tuntutan rakyat untuk ditambah baik moratorium, i-Citra, BPR, BKC belum ada sebarang berita.

“Kerajaan semacam takut berbelanja defisit demi bantu rakyat yang kesempitan, kompaun yang diperkenalkan melalui Ordinan bersifat melampau dan pilih kasih,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here