
KADAR pemberian vaksin Covid-19 harian terus mencatatkan peningkatan dengan 460,158 dos suntikan diberikan semalam, menjadikannya sebagai jumlah tertinggi setakat ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik data pemberian vaksin Covid-19 di Twitternya memaklumkan, daripada jumlah itu seramai 304,807 individu menerima dos pertama dan 155,351 lengkap dos kedua.
Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilaksanakan sejak 24 Februari adalah sebanyak 13,107,716 dos.
Terdahulu,memetik laporan Berita Harian, Malaysia adalah antara beberapa negara yang dijangka akan mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.
Jangkaaan itu berdasarkan kepantasan kadar vaksinasi semasa, sekali gus akan menyokong pemulihan sebaik ekonomi dibuka semula, kata Standard Chartered.
Ketua Ahli Ekonomi ASEAN dan Asia Selatan Standard Chartered, Edward Lee, berkata pelaksanaan vaksinasi dengan pantas akan mempercepatkan pemulihan sebaik saja Malaysia beralih ke Fasa 3 dan Fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Beliau berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh menjejaskan pemulihan ekonomi negara ini pada suku pertama 2021.
Namun, katanya, pelaksanaan pantas vaksinasi akan membolehkan pembukaan semula ekonomi yang lebih stabil sebaik saja gelombang jangkitan semasa reda. – Malaysiapost
