KERAJAAN dan wakil rakyat diseru memanfaatkan laman web dibangunkan pihak tertentu bagi menghulurkan bantuan kepada golongan yang terkesan dengan lebih efisyen.
Naib Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) Fatin Fariza Abdul Halim berkata, pelbagai ‘website online’ turut dibangunkan rakyat sebagai usaha untuk memudahkan pemberi dan penerima bantuan membantu antara satu sama lain.
“Sepatutnya kita hargai usaha mereka yang memudahkan usaha murni ini.
“Penggunaan laman web ini sepatutnya dimanfaatkan pihak kerajaan dan wakil rakyat setempat untuk menggerakkan jentera mereka membantu rakyat yang memerlukan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kempen bendera putih yang dilancarkan rakyat di media sosial, satu laman web, kitajaga.co dibangunkan sekumpulan anak muda yang dikenali sebagai TeratoTech untuk membantu golongan memerlukan mendapatkan bantuan segera dan mereka yang ingin menyumbangkan.
“Gerakan bendera putih yang dilancarkan rakyat adalah usaha murni rakyat bagi menjaga sesama kita. Ini menunjuk kan kuasa rakyat untuk bersatu padu tidak mengira bangsa dan agama membantu antara satu sama lain.
“Jentera perlu digerakkan untuk pergi sahkan keadaan rakyat yang mengibarkan bendera putih ini. Betul ke mereka memerlukan bantuan. Jika betul, bukankah pihak kerajaan dan wakil rakyat mempunyai peruntukan untuk membantu?,” katanya.
Justeru, Fatin Fariza berkata, jentera kerajaan dan wakil rakyat juga tidak perlu lagi menanggung risiko jangkitan wabak Covid yang tinggi apabila mereka turun ke lapangan mencari mereka yang memerlukan.
“Bergeraklah dengan lebih efisyen. Rakyat sudah tunjukkan apa yang boleh dilakukan dengan lebih efisyen. Yang diperlukan hanya sedikit niat yang ikhlas dan rasa ingin bantu masyarakat keliling,” katanya. – Malaysiapost

