Parkir HTJ Seremban jadi hospital hibrid

0
1

RUANG parkir Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban, akan ditukar menjadi hospital hibrid bagi menampung peningkatan pesakit Covid-19 di negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, langkah itu diambil susulan kebimbangan kerajaan negeri terhadap penggunaan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HTJ yang kini beroperasi dalam kapasiti penuh.

“Hospital hibrid yang akan dibuka di tempat letak kereta HTJ akan menampung pesakit yang perlu dirawat dalam ICU.

“Kita terpaksa membuka hospital hibrid sebagai langkah menampung peningkatan jumlah kes pesakit Covid-19.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah meluluskan permohonan kita membuka hospital hibrid di HTJ yang dijangka beroperasi dalam masa terdekat,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Sementara itu, mengenai pembukaan hospital medan yang dirancang pada awalnya diwujudkan di Tampin, Veerapan berkata, kerajaan negeri masih menilai keperluan untuk membuka sebuah hospital berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, berkata buat masa ini keperluan bagi pembukaan Hospital Medan belum begitu mendesak.

“Walaupun jumlah pesakit Covid-19 terus meningkat, namun buat masa ini belum perlu membuka hospital medan, sebaliknya kita akan terus menggunakan fasiliti yang sedia ada untuk merawat pesakit berkenaan.

“Keperluan itu (Hospital Medan) akan dilihat dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu katanya, daripada 1 hingga 13 Julai lalu, sebanyak 76 kes varian baharu dikenal pasti di negeri itu.

Menurutnya, ia membabitkan Varian Beta sebanyak 48 kes, Varian Delta (27 kes) dan satu Varian Theta.

“Satu kes Varian Beta itu adalah membabitkan kes import manakala lain-lain varian adalah kes tempatan.

“Segala kumulatif setakat 13 Julai lalu, sebanyak 293 kes varian baharu virus Variant of Concern (VOC) dan Variant of Interest (VOI) dikesan di negeri ini,” katanya.

Semalam, Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 1,603 kes baharu Covid-19, berbanding 1,537 kelmarin, dengan 11 kes kematian. – Malaysiapost

Foto Kredit: Majlis Bandaraya Seremban

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here