Kelonggaran rakyat lengkap vaksin akan dimuktamadkan dalam masa terdekat

0
1

MESYUARAT kedua Jawatankuasa Khas Kabinet Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) hari ini membincangkan lebih terperinci kelonggaran kepada rakyat yang telah melengkapkan dua dos vaksin.

Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz Aziz berkata, perincian kelonggaran itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Justeru, mesyuarat kedua JKKPPN hari ini juga telah memutuskan beberapa perkara termasuk kelonggaran untuk individu yang sudah menerima vaksin dan syarikat yang sudah memberi vaksin kepada pekerjanya.

“Mesyuarat juga membuat keputusan untuk menambah baik SOP (prosedur operasi standard) berdasarkan maklum balas dari pakar (subject matter experts) selaras dengan usaha untuk mempertingkatkan kejelasan SOP dan tahap kepatuhan.

“Malah, MPN juga akan membuat pertimbangan dan mengesyorkan langkah-langkah penambahbaikan bagi memastikan peralihan dari satu fasa ke fasa berikutnya dapat dicapai secepat mungkin berdasarkan pencapaian nilai-nilai ambang utama yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, mesyuarat juga bersetuju supaya Jawatankuasa Khas Kabinet PPN digantikan dengan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Jelasnya, langkah itu bagi memastikan pelaksanaan PPN berjalan lancar dan mengukuhkan lagi strategi kawalan wabak Covid-19.

“Mesyuarat juga telah memutuskan bahawa PPN akan dibentangkan di Parlimen pada 26 Julai 2021.

“Berteraskan pendekatan ‘whole of nation’, MPN akan melantik wakil-wakil dari sektor swasta, pakar industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berkongsi pengalaman serta nasihat di dalam pelbagai aspek PPN bagi membolehkan Malaysia keluar dari pandemik ini secara sistematik dan selamat.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan akan mengukuhkan strategi bagi mengawal wabak Covid-19 secara holistik dengan memberi fokus kepada faktor-faktor seperti kadar aktiviti atau pergerakan, kadar dan tempoh kebolehjangkitan, populasi berisiko dan pengukuhan kapasiti sistem kesihatan awam,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here