Azmin puas hati PPV PIKAS mampu beri lebih banyak vaksin

0
1
Vaksin AstraZaneca di PWTC.

JUMLAH Pusat Pemberian Vaksin (PPV) banyak membantu mempercepatkan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, setakat ini 61 PPV yang melibatkan PIKAS telah dipilih dan salah satunya di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

“Saya juga ingin kongsikan setakat 9 Julai 2021, jumlah PPV yang melibatkan PIKAS adalah sebanyak 37 PPV di Tapak Premis manakala 24 PPV Penggunaan Umum. Setakat 14 Julai, 19 PPV sudah memulakan operasi.

“PPV MITEC PIKAS ini berupaya mempercepat proses vaksinasi dalam kalangan pekerja sektor pembuatan,” katanya di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, PPV MITEC PIKAS dilengkapi dengan kemudahan dan sumber manusia yang mencukupi mampu meningkatkan jumlah pemberian vaksin.

“Jumlah penerima suntikan vaksin di PPV MITEC PIKAS juga akan ditingkatkan bermula minggu kedua dan seterusnya bagi mempercepatkan vaksinasi pekerja.

“Menyokong usaha kerajaan agar Malaysia segera mencapai imuniti kelompok dan mampu mengawal penularan wabak Covid-19, PPV MITEC PIKAS hadir dengan hampir 30 orang doktor perubatan, jururawat, sukarelawan dan dijangka jumlah ini akan meningkat bagi memudahkan proses vaksinasi.

“Tuntasnya, diharapkan PPV PIKAS yang dibangunkan ini mampu menjadi penggerak kepada pemulihan ekonomi Malaysia dan dalam masa yang sama berjaya melindungi kesihatan para pekerja sektor pembuatan. Bersama kita tangani pandemik Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here