VAKSIN Sinovac akan ditamatkan di Kelantan dan digantikan dengan Pfizer, bermula akhir bulan ini.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin yang berkata, pengagihan vaksin di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri itu akan ditamatkan pada hujung bulan ini.
Beliau berkata serentak dengan itu semua PPV hanya akan dibekal dengan dos kedua vaksin Sinovac, mulai 18 Julai ini.
“Bekalan vaksin Sinovac kepada Kelantan akan ditamatkan pada akhir Julai dan akan digantikan dengan vaksin Pfizer.
“Oleh yang demikian tiada lagi bekalan Sinovac untuk dos pertama mulai tarikh berkenaan,” katanya menerusi notis pemberitahuan bertarikh 13 Julai.
Dalam perkembangan lain, Berita Harian melaporkan Dr Zaini mengesahkan notis berkenaan benar namun tidak menjelaskan kenapa vaksin berkenaan dihentikan.
Bagaimanapun katanya, ia tidak membabitkan pengurangan bekalan vaksin kepada negeri itu.
“Selepas ini Kelantan hanya gunakan Pfizer saja,” katanya. – Malaysiapost

