PKP berlarutan, bekas jurugambar bimbang ‘pisang berbuah dua kali’

0
2

Nurul Huda Abhar

“KU sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari”

Pepatah itu menggambarkan perasaan Hafiz Johari, yang baru sahaja menarik nafas lega setelah kehilangan pekerjaan sebagai jurugambar, namun terpaksa pula berdepan cabaran lain.

Ini kerana perniagaan perabot, Kawood yang diusahakan bersama dua lagi rakannya sudah dua bulan tidak beroperasi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurutnya, cabaran utama ketika ini adalah untuk bertahan kerana walaupun bengkel perabot tidak beroperasi tetapi bayaran sewa bulanan tetap perlu dijelaskan.

“Setakat dua bulan Kawood ditutup, memang tiada pendapatan masuk. Tetapi sewa bulanan kedai tetap kena bayar. Nasib baik pemilik bangunan hanya ambil bayaran setengah bulan sahaja setelah berbincang.

“Kawasan tempat tinggal saya dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) jadi memang tidak boleh buat pergerakan.

“Tambah pula dalam tempoh PKP hanya ‘essential services’ sahaja boleh beroperasi, selain daripada itu terpaksa tutup,” katanya kepada Malaysiapost.

Hafiz yang juga bekas jurugambar Utusan Malaysia berkata, melihat kepada situasi kes harian Covid-19 yang tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan, maka seharusnya kerajaan mengambil insiatif membenarkan perusahaan kecil dan sederhana kembali beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Katanya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) perlu menyemak kembali kebenaran beroperasi bagi sektor-sektor ekonomi yang lain kerana jika PKP berpanjangan akan banyak perniagaan kecil kecundang.

“Saya cuma minta benarkan kedai-kedai kecil seperti kami ini beroperasi dengan SOP ketat.

“Selama ini pun di kedai kami hanya ambil tempahan secara dalam talian, bina perabot di bengkel dan hantar kepada pelanggan. Bagi saya itu tidak akan mencetuskan jangkitan Covid-19.

“Kawood pula masih baru berjinak-jinak dalam industri ini. Respon pelanggan juga sangat baik. Tetapi terpaksa ditutup sementara waktu. Tempahan perabot sentiasa dibuka tetapi buat masa ini tak boleh siapkan lagi,” ujarnya.

Berkongsi mengenai Kawood, Hafiz berkata idea membuka perniagaan perabot tercetus apabila beliau memuat naik sebuah rak tempat letak pokok di media sosial, ketika trend menanam pokok menjadi kegilaan ramai semasa PKP 1.0 lalu.

Berikutan mendapat reaksi positif daripada orang ramai, beliau mengajak dua rakannya iaitu Abdul Razak Latif dan Nooradzrene Mohamed Noor untuk bekerjasama membuka Kawood.

Ketiga-tiga mereka adalah bekas jurugambar Utusan Malaysia yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2019 dan mengorak langkah membuka perusahaan perabot berkonsepkan kayu dan minimalis.

“Sempena ulang tahun pertama Kawood pada 1 Jun lalu, kami ada membuat promosi semua produk kecuali perabot ‘custom’. Alhamdulilah sambutan baik. Tetapi tempahan hanya dibuat selepas Kawood dibuka semula,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here