Ahli Parlimen belum terima notis rasmi persidangan Parlimen

0
2

MESKIPUN berbaki 10 hari lagi menjelang persidangan Parlimen, namun notis rasmi masih belum diterima oleh Ahli Parlimen.

Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang berkata, notis rasmi persidangan Parlimen yang dijadual diadakan 26 Julai ini masih belum diterima oleh beliau dan rakan-rakan Ahli Parlimen PKR yang lain.

“Setakat ini saya mengesahkan yang saya belum menerima apa-apa notis berkaitan sidang Parlimen diadakan dari pejabat Spekaer Parlimen, termasuklah kawan-kawan saya (Ahli Parlimen PKR) juga tidak menerimanya.

“Sepatutnya ia telah diterima, tapi kali ini memang belum lagi. Saya tidak tahu kenapa,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Fahmi menambah, kelewatan menerima notis itu akan mengundang beberapa masalah kepada Ahli Parlimen dari segi penyediaan penempahan hotel penginapan dan tiket penerbangan, terutama Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak.

“Ini pastinya memberi ketidakselesaan kepada Ahli Parlimen terutamanya dari Sabah dam Sarawak.

“Saya juga difahamkan daripada beberapa Ahli Parlimen Sabah diminta oleh pihak Parlimen supaya menerima notis berkenaan sebelum membuat tempahan hotel dan tiket penerbangan.

“Mereka dinasihatkan jangan dulu membuat sebarang tempahan, jadi saya tidak tahu kenapa ia lambat dan kenapa masih belum dikeluarkan notis itu,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh juga mengesahkan beliau belum menerima notis rasmi persidangan.

Menurut pegawai khasnya, setakat tengah hari tadi, Hannah belum menerima notis rasmi tersebut.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi Facebooknya turut menyatakan perkara sama.

“Hingga hari ini saya masih belum terima notis bila Parlimen akan bersidang. Kenyataan media bukan notis.

“Sesi soal jawab, aturan mesyuarat, usul-usul, bahas Ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan lain-lain belum diketahui,” kata Setiausaha Agung Umno itu.

Kelmarin, veteran DAP Lim Kit Siang yang berkata Ahli Parlimen sepatutnya menerima notis rasmi persidangan Parlimen selewat-lewatnya pada 15 Julai, iaitu hari ini.

Pada 5 Julai lalu, kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat.

Persidangan Parlimen yang bakal berlangsung itu bertujuan memberi penerangan kepada semua Ahli Parlimen berkenaan Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here