Keputusan kemasukan ke IPTA esok – KPT

0
2
Sebahagian pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) menunggu dan menaiki bas mengikut SOP yang ditetapkan untuk pulang ke kampung sempena cuti perayaan Aidilfitri di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam hari ini.

KEPUTUSAN permohonan kemasukan ke universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) peringkat Sijil, Asasi dan Diploma, serta Ijazah Sarjana Muda Senibina Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan esok.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi kenyataan memaklumkan keputusan boleh disemak secara dalam talian mulai jam 12 tengah hari.

Ia boleh disemak di pautan https://jpt.utm.edu.my; http://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.ums.my dan http://jpt.umt.edu.my.

KPT memberitahu pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak mulai Sabtu ini hingga 26 Julai di laman web Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan ILKA.

“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan IPTA dan ILKA pada hari sama calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh 10 hari seperti dinyatakan,” katanya.

KPT berkata hanya pemohon yang gagal dan mendapat tawaran program sijil sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke universiti awam dan politeknik di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 11 hari mulai esok sehingga 26 Julai.

Rayuan ke Kolej Komuniti dan ILKA pula boleh diajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline.

Menurut KPT, tawaran tempat bagi sesi akademik 2021/2022 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran tidak dibenarkan.

Dasar pemilihan rayuan pelajar adalah tertakluk kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here