VETERAN DAP Lim Kit Siang, berkata kerajaan perlu mengakui Malaysia adalah antara negara dengan prestasi paling buruk di dunia dalam mengendalikan wabak Covid-19.
Beliau berkata, adalah sesuatu yang mengejutkan apabila apabila perkara ini enggan diperakui oleh Kabinet sedangkan ukuran secara mikro atau makro sudah membuktikannya.
Justeru, beliau berkata, adakah kerajaan merangka strategi baharu bagi mempersediakan rakyat Malaysia untuk hidup selamat dengan pandemik berkenaan.
“Saya menunggu hasil mesyuarat Kabinet semalam, dengan harapan ia dapat menandakan permulaan baru dan strategi baru dalam perang melawan Covid-19.
“Tetapi tidak ada – hanya pernyataan pendek selepas mesyuarat Kabinet menyatakan sokongan sebulat suara para Menteri (termasuk sembilan Menteri Umno) untuk Perdana Menteri, (Tan Sri) Muhyiddin Yassin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, perkara merupakan satu penghinaan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Tertinggi Umno.
Katanya, lebih penting ia menunjukkan kabinet yang ada hari ini adalah sebuah kerajaan yang tidak bersedia untuk menumpukan usahanya kepada cabaran eksistensial yang dihadapi negara dibawa pandemik Covid-19.
“Sebaliknya hanya tertumpu kepada usaha untuk memberikan respons kepada cabaran terhadap Kabinet yang dilontarkan oleh Presiden dan Majlis Tertinggi Umno.
“Bilakah Kabinet akan mula menunjukkan tauladan untuk berhenti berpolitik dan menumpukan usaha melawan wabak Covid-19 dan merancang untuk mengembalikan Malaysia ke arah kenormalan seperti yang sedang berlaku di negara lain,” katanya.
Dalam pada itu, Kit Siang berkata, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga menjangkakan kes Covid-19 akan terus meningkat dalam dua minggu berikutnya sebelum kembali stabil.
“Ini kerana varian yang membimbangkan seperti varian Delta, yang menurutnya telah menyebabkan malapetaka di Lembah Klang.
“Adakah mana-mana Menteri yang berani menafikan bahawa Malaysia berkemungkinan akan melepasi angka sejuta kes Covid-19 terkumpul pada akhir bulan ini?
“Apabila kita menyambut Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos yang akan datang, kita akan mempunyai lebih daripada 10,000 kematian akibat Covid-19, tanpa mengira lagi kematian akibat peningkatan kejadian bunuh diri disebabkan oleh pandemik ini?,” katanya. – Malaysiapost

