PKR gesa PPN dibahaskan di Dewan Rakyat 26 Julai ini

0
1
Parti Keadilan Rakyat

PELAN Pemulihan Negara (PPN) perlu dibentang, dibahas serta diputuskan semua wakil rakyat pada sidang Parlimen yang bermula 26 Julai ini.

Perkara itu dibangkitkan tiga Ahli Parlimen PKR iaitu Shamsul Iskandar Mohd Akin (Hang Tuah Jaya), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai) dan Wong Chen (Subang) ketika sesi taklimat PPN bersama Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Menerusi kenyataan bersama, mereka juga mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen diwujudkan bertujuan memantau dan menyemak imbang pelaksanaan pelan berkenaan.

“Pada masa sama, kami berpeluang menyampaikan pandangan Ahli Parlimen PKR berkenaan pelan berkenaan, di mana pelan itu perlu berteraskan prinsip-prinsip berikut:

“Antaranya dasar dan langkah kerajaan mesti berasaskan sains perubatan dan data.

“Kerajaan mesti adil kepada semua pihak dan wajib telus dan bertanggungjawab dalam perbelanjaan sewaktu pandemik ini,” kata tiga Ahli Parlimen PKR itu.

Dalam pertemuan itu juga, mereka membentangkan beberapa perkara, termasuk perlunya meningkatkan bantuan kepada hospital dan sistem kesihatan awam sedia ada.

“Ia termasuk menggembleng tenaga dan kerjasama semua pihak dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Menerbitkan data lebih terperinci, menyelamatkan pekerja dan pekerjaan, menambah bantuan untuk rakyat segera dan memastikan Parlimen memainkan peranan utama dalam usaha memulihkan negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here