Ebit Lew sumbang kelengkapan di CAC Stadium Titiwangsa

0
1

PENDAKWAH terkenal, Ustaz Ebit Lew menghulurkan sumbangan kelengkapan kepada Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Titiwangsa di ibu negara ketika merasmikan pusat itu hari ini.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, Ebit memaklumkan beliau menyediakan kelengkapan seperti komputer riba, pakaian pelindung diri (PPE), tablet, kerusi, meja plastik, sarung tangan getah, kipas termasuk katil kanvas bagi memudahkan petugas barisan hadapan menjalankan tugas.

“Hari ini merasmikan Pusat Penilaian Covid 19 di Titiwangsa. Pusat penilaian dan tempat sementara menanti dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

“Saya bantu siapkan kelengkapan untuk mereka. Belikan katil kanvas sebanyak 100 unit; pakaian pelindung diri (PPE) (200 unit); komputer riba (tiga unit); tablet (10 unit); kipas (10 unit); kerusi dan meja plastik; serta sarung tangan getah sebanyak 50 unit,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menzahirkan rasa terharu terhadap pengorbanan petugas barisan hadapan serta sukarelawan yang bertungkus-lumus membantu negara menangani masalah wabak Covid-19.

“Syukur sangat. Berat melihat keadaan Malaysia dari hari tu masa di Palestin. Tak sabar nak buat sesuatu di Malaysia.

“Terharu sebak sangat dengan pengorbanan doktor, jururawat, pegawai perubatan, petugas KKM, sukarelawan bagi membantu misi negara ini.

“Besarnya pengorbanan mereka. Setiap hari pakai baju PPE. Kerja yang setiap hari semakin berat. Ya Allah. Semoga Allah beri kekuatan pada semua mereka,” katanya.

Selain itu, Ebit menerima sijil penghargaan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Terima kasih Dr Nor Maizura dan team. Terharu dapat sijil penghargaan KKM dan Kek. Terima kasih.

“Ya Allah angkatlah covid 19 dari negara kami. Bantulah mereka yang memerlukan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here