KERAJAAN negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa untuk menutup mana-mana kilang atau premis perniagaan yang didapati gagal mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam mencegah penularan pandemik Covid-19.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata tidak timbul isu negeri tidak boleh menutup kilang dalam membendung pandemik Covid-19 memandangkan kuasa telah diberikan oleh Kerajaan Pusat kepada negeri dan perkara ini pernah dilaksanakan sebelum ini.
“Jadi tidak ada isu yang mengatakan dia (negeri) tidak boleh tutup, hanya kerajaan pusat sahaja yang boleh, itu salah, mungkin mereka kurang baca, tidak cakna atau pun sekolah tidak habis.
“Sekiranya ada kekurangan dia (negeri) boleh tulis kepada pusat dan kerajaan pusat akan menyokong mereka mengambil tindakan, jadi janganlah berlagak seperti tidak ada taring,”katanya seperti dilaporkan Kosmo.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau Program Outreach Mobilasi Vaksin Komuniti di Dewan Orang Ramai Kampung Serengkam di Maran, hari ini.
Menurut Zuraida, pada 29 Jun lalu Kerajaan Pusat telah menurunkan kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang melanggar SOP dibawah Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
Selain itu katanya, PBT mempunyai kuasa di bawah Akta 171 yang mana PBT boleh menutup kilang selaras dengan akta dan kuasa diperuntukkan bagi melindungi dan memastikan kesihatan awam serta mengambil langkah yang perlu dan munasabah bagi mencegah berlakuknya penyakit berjangkit.
“Jadi tidak ada isu sebenarnya, dia (negeri) boleh gunakan Akta 342 dengan sokongan Akta 171 yang mana mereka ada kuasa untuk menutup dan mengambil tindakan mahkamah.
“Saya ingat pada 2019 operasi kilang plastik di Selangor yang mana, Majlis Perbandaran Kuala Langat menutup kilang dan mengambil tindakan mahkamah serta saman polis,” katanya.
Semalam, EXCO Kerajaan Tempatan Selangor, Ng Sze Han berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membatal, menamat, menarik lesen atau memberi kebenaran sewenang-wenangya terhadap mana-mana kilang beroperasi di negeri berkenaan.
Beliau berkata, operasi sektor pengilangan dan pembuatan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terletak dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/07/14/pbt-tidak-ada-kuasa-tutup-operasi-kilang-di-selangor-exco/

