MAJLIS Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) memohon agar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempercepat proses perbicaraan dan inkues kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Pengerusi PNBBC, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata ia antara tiga fokus utama yang perlu disegerakan kerajaan ketika ini.
Dua isu lagi ialah menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) termasuk siasatan terhadap isu
penjualan aset etika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan.
Serta, menyegerakan penubuhan RCI bagi menyiasat unsur penyelewengan fakta kandungan buku tulisan Tan Sri Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’.
“Ketiga isu ini penting untuk disegerakan memandangkan ia berkait rapat dengan kepentingan awam dan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan, kehakiman dan proses keadilan dalam negara.
“Selain itu, besar harapan kami agar Timbalan Perdana Menteri dapat membantu Perdana Menteri untuk terus memberi fokus terhadap aspek pentadbiran negara, mempercepa proses vaksinasi bagi menjayakan pembentukan imuniti kelompok serta membela keperluan rakyat di setiap Parlimen dengan mempertingkat lagi penyaluran bantuan bakul makanan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Shahidan berkata penambahbaikan aspek pentadbiran dan penyampaian khidmat oleh kerajaan perlu bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat.
Ia juga katanya, bagi membetulkan persepsi rakyat dalam memastikan setiap usaha untuk memulihkan negara dari aspek ekonomi dan sosial dapat terus dilaksanakan dengan jayanya menerusi sokongan semua pihak.
“PNBBC juga akan memberi sokongan penuh terhadap pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan Luar Negeri daripada Umno serta sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) memandangkan usaha bagi memastikan negara dan rakyat keluar daripada pandemik ini adalah perjuangan bersama.
“Oleh itu, pertikaian sokongan pelantikan
ini oleh ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional tidak perlu dipertikaikan lagi.
“Dalam masa sama, kami menyeru semua pihak dalam Umno terus menyokong ahli-ahli Parlimen agar perkhidmatan terbaik kepada rakyat dapat diberi dengan penekanan terhadap usaha meningkatkan
vaksinasi dapat dipergiatkan,” katanya. – Malaysiapost

