Pejuang bidas naratif cetusan PAS jangan menyalahkan kerajaan

0
1

KETUA Wanita Pejuang (Pejuanita), Mahaya Ahad membidas naratif yang cuba dicetus PAS bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh disalahkan atas kegagalan menangani pandemik Covid-19.

Beliau menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS (DMPM) Dr Najihatussalehah Ahmad bahawa cukuplah menunding jari menyalahkan kerajaan, seolah-olah meletakkan kegagalan ini di tangan rakyat semata-mata.

“Kebelakangan ini semakin ramai rakyat tampil menyuarakan sama ada pendapat, idea dan tidak kurang juga menyatakan ketidakpuasan hati serta kekecewaan terhadap situasi yang negara dan rakyat hadapi sekarang iaitu pandemik covid-19.

“Dr Najihatussalehah perlu faham bahawa ketidakpuasan hati rakyat adalah sebenarnya terhadap kualiti kepimpinan dan kerja atau pelaksanaan yang serba tidak memuaskan ditunjukkan pemimpin atau wakil rakyat di blok PN.

“Kita tahu majoriti rakyat tidak pernah memilih PN untuk menang dalam mana-mana pilihan raya setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lebih menghairankan, Mahaya berkata, PAS yang sebelum ini membisu berikutan penggantungan Parlimen tiba-tiba bersuara meminta kerajaan tidak patut dipersalahkan atas kegagalan membendung pandemik ini.

“Dr Najihatussalehah saya fikir anda lupa bahawa kegagalan ini adalah rentetan daripada tindakan Perdana Menteri yang menutup persidangan Parlimen sedangkan Agong menggalakkan persidangan walau dalam keadaan darurat apatah lagi setelah sekian lama wakil rakyat tidak beraksi untuk memperjuangkan suara rakyat dalam dewan rakyat atau dewan negeri.

“Seingat saya tiada langsung kenyataan Dr Najihatussalehah atau mana mana pemimpin PAS yang kelihatan bersungguh mahu Parlimen dibuka segera,” katanya.

Justeru, Mahaya berkata kenyataan itu patut dikecam kerana menyinggung hati rakyat yang semakin tertekan untuk meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh ini. – Malaysiapost

Sumber Foto: FB/Mahaya Ahad

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here