Kepercayaan rakyat terhakis bila menteri langgar SOP

0
1
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin (BN) tiba di Bangunan UMNO untuk perjumpaan Ahli Parlimen BN hari ini.

KEPERCAYAAN rakyat terhakis terhadap keberkesanan sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ apabila segelintir menteri tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Perkara itu diakui Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang berkata pemimpin harus menerajui negara dengan mencerminkan contoh baik kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan kegagalan barisan Jemaah Menteri mematuhi SOP mengundang pertikaian masyarakat, sekali gus menyaksikan ramai yang mempersoalkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

“Saya rasa dalam hal itu, kita memang ada buat kesilapan,” katanya dalam temu bual bersama The Sydney Morning Herald dan The Age yang diterbitkan, hari ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menegaskan, kerajaan berdepan kesukaran untuk memastikan rakyat mematuhi SOP kerana mereka mengalami kelesuan pandemik.

“Walaupun tiada negara yang mempunyai rekod tindakan paling sempurna dalam membendung krisis kesihatan ini, kita sebenarnya boleh melakukan yang lebih baik.

“Saya tidak menyalahkan rakyat kerana untuk mematuhi semua jenis kekangan dan larangan terhadap tindak tanduk kita sememangnya sesuatu (yang sukar).

“Akhirnya, pasti ada masa di mana orang ramai akan terleka,” katanya lagi.

Sebelum ini, beberapa menteri dilaporkan tidak mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga mengundang kecaman orang ramai.

Terbaharu Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang didenda RM2,000 atas kesalahan melakukan kunjungan ziarah dalam tempoh sekatan pergerakan penuh.

Annuar menziarah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi di kediamannya di Kuala Lumpur minggu lalu.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed disiasat kerana makan di dalam sebuah kedai makan di Jeli, Kelantan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here