Liga Super 2021 mencatatkan 21,814,979 tontonan bagi aksi siaran langsung disiarkan menerusi tiga platform iaitu Sports Channel di unifi TV & unifi PlayTV, unifi YouTube dan saluran TV1 RTM (menerusi set top box unifi).
Ia sekali gus menunjukkan saingan liga elit tempatan itu terus memiliki tarikan tersendiri.
Jumlah tontonan itu melibatkan siaran langsung aksi pertama Liga Super pada 5 Mac sehingga perlawanan ke-13 pada 9 Mei sebelum Liga Malaysia (Liga M) berehat dan akan kembali bersambung pada 24 Julai ini.
Turut menarik perhatian adalah tontonan perlawanan di unifi Youtube yang direkodkan sehingga 30 Mei iaitu 49,838,140.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, nilai statistik jumlah tontonan itu menerusi tiga platform itu membuktikan Liga M masih kekal saluran sukan nombor satu kegemaran negara.
Jelasnya, MFL dengan kerjasama penaja utama Telekom Malaysia (TM), potensi jumlah tontonan masih berupaya dipertingkatkan selaras minat rakyat terhadap sukan itu pada masa akan datang.
Katanya lagi, MFL menghargai setiap pandangan khusus daripada penyokong bola sepak tempatan yang sentiasa memberi sokongan teguh kepada industri bola sepak tatkala negara masih berdepan detik sukar akibat Covid-19.
“Itulah angkanya iaitu 21,814,979 jumlah tontonan siaran langsung keseluruhan setakat ini di mana ia melibatkan 78 perlawanan yang menyaksikan jumlah jaringan terhasil sebanyak 202 gol.
“Apa yang menarik, kesemua video perlawanan Liga Super telah ditonton 49,838,140 sehingga 30 Mei menerusi unifi YouTube.
“Statistik ini menunjukkan Liga M terutama Liga Super merupakan produk terbaik kepada rakan-rakan penaja kami untuk komersialkan produk mereka,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman web MFL.
Sebagai rekod, siaran langsung perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC pada 10 Mei mencatatkan jumlah tontonan paling tinggi setakat ini iaitu 698,341. – Malaysiapost

