AHLI Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa kerajaan untuk melindungi pemandu dan penghantar barang bermotosikal e-Hailing yang terdedah dengan risiko dijangkiti Covid-19.
Beliau berkata, peningkatan jumlah pesakit yang hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) akan meningkatkan risiko jangkitan kepada golongan itu, sekiranya penumpang menggunakan perkhimatan e-Hailing untuk ke pusat terbabit.
“Semalam saya dihubungi pemandu perkhidmatan Grab menyuarakan kebimbangan mereka mengenai risiko kepada pemandu dan penghantar barang bermotosikal e-hailing yang setiap hari terdedah terhadap jangkitan Covid-19.
“Kerajaan perlu melindungi mereka yang terlibat di dalam industri ini daripada terkena jangkitan dan menjangkiti orang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau mencadangkan tiga langkah segera yang boleh diambil untuk melindungi kira-kira 200,000 pemandu dan penghantar barang bermotosikal e-Hailing termasuk vaksinasi, sistem pengudaraan dan intergrasi.
“Kementerian Pengangkutan dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mesti menyegerakan pemberian vaksin kepada pemandu dan penghantar barang bermotosikal yang membawa ribuan penumpang, menghantar makanan dan bungkusan daripada pelbagai lokasi setiap hari.
“Ini bukan roket sains. Saya terkejut kerana mereka ini tidak dianggap sebagai petugas barisan hadapan walaupun mereka dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu dalam setiap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia juga harus memberikan panduan dan galakan mengenai sistem pengudaraan untuk perjalanan e-hailing ini.
“Selain itu, MySejahtera perlu mengamalkan konsep data terbuka dan berkongsi data mereka dengan pemain industri yang berkaitan.
“Ketika seseorang penumpang membuat tempahan, pemandu tidak diberikan maklumat mengenai status Covid-19 sehinggalah mereka masuk ke dalam kereta dan mengimbas kod QR (yang akan menunjukkan status terkini Covid-19 di MySejahtera penumpang).
“Risiko untuk pemandu ini terdedah dan menyebabkan berlakunya rantaian jangkitan tidak dapat dibayangkan tetapi ianya boleh dan mesti dielakkan,” katanya. – Malaysiapost

