Tiada kebenaran rentas daerah, lelaki nekad berenang ke Seberang Perai

0
1

SEORANG lelaki mengambil keputusan nekad untuk berenang merentasi Selat Pulau Pinang sejauh kira-kira tiga kilometer untuk ke Seberang Perai di Pulau Pinang, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, lelaki berusia 28 tahun tersebut bertindak demikian kerana tidak mempunyai surat rentas daerah bagi menuju ke kawasan tanah besar itu dari bandar raya Georgetwon.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, siasatan pihaknya mendapati lelaki itu nekad terjun ke dalam laut dari Tanjung City Marina dan cuba berenang menuju ke Seberang Perai.

“Namun, dipercayai akibat kepenatan, dia telah berpatah balik menghala ke tempat pejalan kaki jeti feri sebelum berjaya diselamatkan oleh petugas Penang Port Sdn Bhd.

“Lelaki itu memberitahu dia nekad berenang untuk berjumpa rakannya selepas gagal mendapatkan kelulusan permit rentas daerah daripada pihak polis kerana tiada alasan munasabah,” katanya memetik Kosmo Online.

Soffian berkata, semasa diselamatkan, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada lelaki yang tidak bekerja itu dan hanya menyatakan butiran peribadi secara lisan.

“Menurut ibunya, dia yang berasal dari Bayan Lepas itu sudah lama tidak balik ke rumah dan dipercayai hidup sebagai gelandangan selain didakwa merupakan penagih dadah tegar.

“Dia dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan pemeriksaan doktor mendapati lelaki itu mengalami patah tangan kanan,” katanya.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial semalam selepas beberapa video dan gambar aksi lelaki itu dimuat naik ke Facebook. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here