Nurul Huda Abhar
AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini mendapat dos kedua vaksin AstraZeneca (AZ) di Pusat pemberian vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.
Menurutnya, janji temu dos kedua pada hari ini adalah tarikh baharu yang diberikan setelah PPV IDCC ditutup sementara semalam.
“Alhamdullah semua berjalan dengan lancar. Ini adalah dos kedua saya, AstraZeneca. Nampak perjalanan (PPV) agak baik.
“Semalam sepatutnya dos kedua saya tetapi ditangguhkan atas apa yang berlaku,” katanya kepada media selepas selesai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Seramai 204 petugas di PPV IDCC disahkan positif Covid-19 berdasarkan keputusan ujian saringan beramai-ramai kepada semua petugas, kelmarin.
Susulan itu, PPV IDCC akan ditutup sementara semalam untuk proses sanitasi dan nyah kuman yang dijalankan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Sementara itu, Syed Saddiq mendoakan kesihatan ke semua petugas PPV IDCC yang terkesan dan menyeru orang ramai supaya tiga ragu-ragu untuk datang mendapatkan vaksin.
“Doa saya bersama semua yang terkesan. Mereka semua adalah barisan hadapan, mereka lebih 200 orang (dijangkiti).
“Hari ini semua petugas sudah ditukar. Jadi apabila dipanggil untuk ambil vaksin, kita mesti ambil. Jangan ragu-ragu. Saya yakin kerajaan dah letak prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk pastikan kejadian itu tidak berulang dan tidak ada orang yang takut untuk pergi ke pusat vaksin.
“Saya harap rakyat Malaysia bersama dapatkan vaksin. Bagi mereka yang masih ragu untuk dapatkan vaksin, kita mesti pujuk mereka. Apabila semua rakyat Malaysia dapatkan vaksin barulah kita boleh kembali semula ke keadaan seperti biasa,” ujarnya. – Malaysiapost

