VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, beliau sudah menjangka kes Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang didakwa gagal mengisytiharkan wang RM2 juta akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Beliau berkata, jangkaan itu dibuat kerana kes melibatkan Ahmad Maslan dengan kes yang dihadapinya ketika ini tidak banyak perbezaan.
“Kes Datuk Ahmad Maslan juga dipindahkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
“Permohonan pemindahan ini tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya kerana hujahan peguambela Ahmad Maslan adalah sama seperti hujahan peguambela saya.
“Apabila Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar permohonan pemindahan saya menolak tepi hujahan lemah pihak Timbalan Pendakwa Raya, makin kuatlah permohonan peguambela Datuk Ahmad Maslan apabila membuat permohonan yang serupa,” katanya di Facebook, hari ini.
Pada 21 Mei lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, membenarkan kes yang dihadapi Shahrir yang juga bekas Pengerusi Felda itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Shahrir sedang berdepan tuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak, lapan tahun lalu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Mahkamah memutuskan untuk memindahkan kes itu bagi membolehkan proses perbicaraan akan menjadi lebih cepat kerana terdapat beberapa isu perlembagaan yang akan dibangkitkan oleh pembelaan.
Mengulas lanjut, Shahrir menyifatkan beliau dan Ahmad Maslan adalah insan terpilih oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam pendakwaan terpilih.
“Kami berdua, saya dan Datuk Ahmad Maslan, adalah yang terpilih dari seramai 80 individu dan entiti yang sama-sama kena kompaun SPRM. Tapi kami menolak kerana ianya bermakna kami bersalah.
“Akhirnya, rupa-rupa kami bersalah kerana tidak mengistiharkan ‘pendapatan’. Digunakan Akta Cukai Pendapatan yang digazet dibawah AMLA untuk mendakwa kami.
“Bukan kami mengubahkan wang atau ‘money laundering’. Tak istihar duit yang diterima dari Presiden Umno/Perdana Menteri,” katanya.
Shahrir mengakui memang beliau ada menerima duit berkenaan, namun ia digunakan untuk tujuan memulihkan projek perumahan kos rendah untuk penduduk setinggan dan pada awal tahun 2014 rumah pangsa itu siap dibaik pulih dan telah pun didiami rakyat.
“Datuk Ahmad Maslan menafikan penerimaan cek dan pengeluaran duit. Kerana menafikan, dijadikan tuduhan tambahan. Maknanya, jadi dua tuduhan. Satu, tidak istihar ‘pendapatan’. Dua, buat kenyataan tidak benar.
“Ini semua yang dibuat semasa PH memerintah dan melakukan pendakwaan politik dengan menggunakan Peguam Negara, SPRM dan LHDN. PDRM pun siasat juga,” katanya.
Shahrir juga menegaskan, beliau percaya bahawa keadilan hanya boleh ditentukan menerusi perundangan dan mahkamah, bukan ditentukan oleh pihak yang berkuasa.
“Sekarang kes kami berdua sudah diangkat ke mahkamah tinggi. Hujah pembelaan kami memang patut didengar mahkamah tinggi kerana melibatkan aspek perlembagaan.
“Tapi, pendakwa akan mulakan kes mereka dulu. Lari cukai ke. Pengubahan wang ke. Saya sabar menanti hari saya di mahkamah. Kebenaran dan keadilan akan terbukti di situ. Di pihak Judisiari.
“Bukan di tangan Peguam Negara atau agensi penyiasat dan penguatkuasa, iaitu dipihak kerajaan atau Eksekutif,” katanya yang masih menanti tarikh dibicarakan.
Semalam, Kes Ahmad yang didakwa gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada Najib dan memberi pernyataan palsu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kual Lumpur.
Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad ketika dihubungi media, memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah, hari ini, membenarkan permohonan Ahmad untuk dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. – Malaysiapost

