Kes melonjak cerminan kegagalan ketua kerajaan urus pandemik – Zahid

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KES Covid-19 yang semakin teruk di Malaysia adalah cerminan kegagalan ketua kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengurus pandemik, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Namun kata Presiden Umno itu, jentera siber Bersatu berterusan mempertahankan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan pelbagai alasan.

Katanya, penyokong parti itu sering kali menyatakan Parlimen tidak boleh bersidang kerana kes jangkitan wabak tersebut meningkat setiap hari.

“Seperti biasa pendukung bunga (Bersatu) dan jentera siber mereka berusaha memanipulasi fakta. Jentera siber kata kes Covid-19 makin tinggi maka sebab itu Parlimen tidak boleh bersidang.

“Faktanya sejak Parlimen tidak bersidang maka kes Covid-19 semakin tinggi dan tidak terkawal.

“Pendukung bunga kata kes Covid-19 makin teruk maka sebab itu Perdana Menteri perlu dipertahan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Ahmad Zahid berkata apa yang dikhuatiri akhirnya telah menjadi kenyataan dan apa yang diramalkan juga sudah berlaku iaitu kes harian Covid-19 melepasi 11,000 semalam.

Katanya lagi, hujah peningkatan itu disebabkan proses saringan dipertingkatkan tidak berkenaan kerana faktanya sebanyak 870 kluster aktif telah direkodkan dengan lebih 96,000 kes jangkitan aktif.

“Hampir 7,000 nyawa sudah terkorban akibat kegagalan mengawal pandemik. Kadar R-naught iaitu kadar kebolehjangkitan kini mencapai 1.14.

“Lebih tinggi berbanding R-naught 1.07 yang menyebabkan PKP dilaksanakan bermula 1 Jun.

“Satu-satunya pencapaian terbaik kerajaan PN berjaya beli kontena untuk menyimpan mayat. Sebenarnya kita tidak pasti pun sama ada itu wajar dianggap sebagai pencapaian,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here