BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengucapkan syabas kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob susulan pengumuman mengenai pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berkaitan Lembaga Tabung Haji (LTH).
Menurutnya, RCI untuk LTH antara syarat utama dikenakan Umno semasa memberi sokongan sementara bersyarat kepada Bersatu untuk membentuk kerajaan pada Februari tahun lalu.
“RCI untuk Tabung Haji ini antara syarat utama Umno semasa kita beri sokongan sementara bersyarat pada PPBM/PN untuk membentuk kerajaan pada Februari 2020 lalu.
“Satu lagi syarat ialah menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang dikaitkan dengan kes pembunuhan anggota bomba, Muhammad Adib,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, syarat untuk menyiasat penjualan aset negara secara lambak dibuat semasa Pakatan Harapan (PH) juga masih tertangguh.
“Banyak lagi syarat termasuk tempoh maksima setahun bagi kerajaan PN memulangkan mandat pada rakyat yang diberi masa itu belum ditunai,” katanya.
Terdahulu Ismail Sabri mengumumkan kerajaan bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi LTH dari tahun 2014 hingga 2020.
Menurutnya, pembentukan RCI itu dipersetujui Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini.
Beliau berkata, penubuhan RCI itu adalah wajar supaya siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan tersebut dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada Kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan LTH.
Katanya, ia juga bagi memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dilaksanakan demi memastikan LTH telah menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam. – Malaysiapost

