
SEBANYAK 118 kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan kes kematian akibat Covid-19 setakat ini adalah 6,503 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes kematian terbaharu itu adalah membabitkan 108 warganegara dan 10 bukan warganegara.
Menurutnya, pecahan kes kematian itu melibatkan 46 kes di Selangor, 18 di Kuala Lumpur, 16 di Negeri Sembilan dan 13 kes di Johor.
Selain itu lima kes di Kedah, masing-masing empat kes di Sabah dan Sarawak, masing-masing dua kes di Labuan, Kelantan, Perak, Pahang dan Melaka, serta masing-masing satu kes di Pulau Pinang dan Terengganu.
“Kes sembuh ialah 6,377 menjadikan keseluruhan 759,705 kes sembuh berbanding 11,618 kes baharu yang dilaporkan hari ini atau keseluruhan 867,567 kes setakat ini.
“Daripada keseluruhan kes baharu yang dilaporkan kes import adalah 26 kes iaitu 14 warganegara dan 12 bukan warganegara.
“Manakala kes tempatan ialah 11,592 (9,659 warganegara dan 1,933 bukan warganegara),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setakat ini 101,359 kes masih aktif dengan pesakit yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 878 dan daripada jumlah itu 432 memerlukan bantuan alat pernafasan.
“Jumlah kluster baharu yang dilaporkan adalah 26 menjadikan keseluruhan kluster kini 3,142 dengan 2,266 kluster telah tamat dan 876 kluster masih aktif,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, seperti dijelaskan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini, peningkatan kes harian adalah sejajar dengan jumlah kenaikan saringan Covid-19 iaitu hasil saringan bertumpu yang giat dijalankan khususnya di Lembah Klang.
“Jumlah ujian harian tertinggi bagi tempoh dua minggu telah direkodkan pada 13 Julai 2021 iaitu sebanyak 131,706 ujian (RT-PCR dan RTK-Ag).
“Namun begitu, masih terdapat kapasiti untuk menjalankan lebih banyak ujian terutamanya di makmal-makmal swasta. Kapasiti ini akan digunapakai sebaik-baiknya bagi menjalankan lebih banyak ujian Covid-19 secara strategik,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata berdasarkan data terkini semalam nilai kadar kebolehjangkitan (RT) Malaysia adalah 1.16 dengan negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Putrajaya (nilai RT 1.35).
“Manakala negeri-negeri lain yang mencatat RT melebihi 1.0 adalah Terengganu (nilai RT 1.26), Selangor (nilai RT 1.19), Kedah (nilai RT 1.17) dan Pahang (nilai RT 1.14).
“Kuala Lumpur mencatatkan nilai RT 1.11, Pulau Pinang (nilai RT 1.11), Melaka (nilai RT 1.10), Sabah (nilai RT 1.07), Negeri Sembilan (nilai RT 1.06), Johor (nilai RT 1.05), Perak (nilai RT 1.04), dan Kelantan (nilai RT 1.02),” katanya. – Malaysiapost
