Tingkatkan vaksinasi secara pandu lalu

0
2

KERAJAAN perlu meningkatkan vaksinasi Covid-19 menggunakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu bagi mengurangkan kontak sekali gus mengelak penularan wabak berkenaan.

Cadangan itu dikemukakan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong susulan 204 petugas di PPV Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam disahkan positif Covid-19 semalam.

Beliau juga mencadangkan supaya Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memastikan petugas dan penerima vaksin sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Wajibkan penggunaan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) dan ujian kendiri kerap bagi petugas.

“Guna fasiliti komuniti – klinik swasta, dewan, sekolah dan lain-lain yang kurang sesak dan menyenangkan penduduk, tak perlu bergerak jauh,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Terdahulu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata 204 petugas PPV tersebut positif Covid-19 susulan ujian dijalankan melibatkan 453 petugas semalam.

Arahan ujian saringan swab beramai-ramai itu dikeluarkan selepas dua sukarelawan yang betugas di PPV IDCC disahkan positif Covid-19.

Susulan itu PPV IDCC ditutup sementara hari ini untuk proses sanitasi dan nyah kuman. – Malaysiapost

Foto Kredit: mod.gov.my

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here