KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) meminta semua pihak terus saling bekerjasama dalam pelaksanaan vaksinasi Covid-19 negara dengan berkongsi maklumat sahih.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata kerajaan bersikap terbuka dalam menerima cadangan serta maklum balas dan sentiasa sedia memperbaiki kelemahan agar dapat bersama-sama melakukan yang terbaik dalam menangani krisis kesihatan ketika ini.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan terdapat sesetengah penganalisis luar negara yang memberi gambaran tidak tepat dalam membuat analisa dan perbandingan terhadap Malaysia kerana tidak menggunakan fakta terkini.
“Misalnya, terdapat maklumat daripada sebuah vaccine tracker pada April lalu yang mengunjurkan Malaysia mengambil tempoh masa 4.9 tahun untuk mencapai jumlah vaksinasi 75 peratus populasi.
“Namun, jika tracker yang sama dibuka hari ini, tempoh 4.9 tahun itu telah berubah menjadi lima bulan.
“Unjuran lima bulan ini berdasarkan 262,000 dos sehari manakala jika berdasarkan 375,000 dos sehari, jangkaan 75 peratus vaksinasi boleh dicapai dalam tempoh tiga hingga empat bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata, ketika tracker tersebut menerbitkan unjurannya pada April, kerajaan telah mengeluarkan peta perancangan vaksinasi, namun maklumat itu tidak digunakan dalam analisa tersebut.
Katanya, situasi itu menyebabkan penilaian terhadap kedudukan Malaysia ketika penerbitan itu tidak baik dan analisis data secara selektif seperti itu tidak memberi gambaran realiti sebenarnya serta boleh menimbulkan ketidakpercayaan masyarakat.
“Walaupun kini pihak terbabit telah memperbetulkan maklumat tersebut, tetapi penyebaran maklumat yang tidak tepat telahpun berlaku,” ujarnya lagi.
Sementara itu, beliau berkata vaksinasi adalah jalan terbaik bagi melindungi nyawa serta membawa rakyat keluar daripada pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara.
Sehingga kini, katanya, pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 telah mencapai prestasi memberangsangkan di mana 11 juta suntikan telah diberi, dan negara menuju ke arah sasaran 80 peratus imuniti kelompok pada akhir tahun ini.
“Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM), kadar vaksinasi Malaysia bagi setiap 100 orang adalah lebih baik daripada sebilangan negara termasuk Amerika Syarikat, Korea Selatan dan United Kingdom,” katanya.
Semalam, 421,479 dos suntikan diberikan menjadikan ia jumlah tertinggi pernah dicatatkan dalam sehari sepanjang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Sehingga kini, Malaysia mencatatkan 11,788,189 jumlah kumulatif pemberian dos vaksin. – Malaysiapost

