Pejuang nafi kerjasama dengan Bersatu, PN

0
1
logo parti pejuang

PARTI Pejuang Tanahair (Pejuang) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan parti itu akan menjalinkan bekerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin berkata tuduhan liar itu cuba mencalar reputasi Pejuang.

Katanya, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berulang kali dengan tegas menolak dakwaan berkenaan.

“Andai PEJUANG berniat untuk kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), tidak perlu pihak kami bertungkus-lumus berusaha mendapatkan kelulusan parti.

“Lebih baik sahaja kami kembali kepada parti lama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial tangkap layar kononnya ditulis Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang parti itu telah menyerahkan permohonan menyertai PN.

Dalam tangkap layar itu, Dr Mahathir didakwa akan dilantik sebagai penasihat PN dan parti itu akan bertanding 70 kerusi Parlimen.

Menyifatkan dakwaan itu tidak bertanggungjawab dan berita palsu yang tidak sepatutnya berlaku, Ulya seterusnya berkata, Biro Politik Pejuang tidak pernah berbincang mengenai kerjasama berkenaan.

Tegasnya, fokus parti itu ketika ini adalah perbincangan bagi menangani Covid-19 dalam kerangka Majlis Pemulihan Negara yang dicadangkan kerajaan.

Beliau juga menegaskan pendaftaran Pejuang tidak membabitkan “pintu belakang” atau percaturan politik seperti yang cuba disensasikan oleh segelintir pihak.

“Di sini diperjelaskan bahawa pendaftaran Pejuang pada 8 Julai adalah selari dengan keputusan mahkamah yang memberi 14 hari kepada Kementerian Dalam Negeri membuat keputusan kepada rayuan pendaftaran kami.

“Tiada perbincangan belakang atau percaturan politik, keputusan ini hasil keputusan mahkamah,” katanya.

Pada 8 Julai lalu, Dr Mahathir mengumumkan Pejuang telah didaftarkan sebagai parti politik sah.

Semalam Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata berita perbincangan antara Dr Mahathir dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak salah, jika benar seperti dilaporkan.

“Berita Tun M bincang-bincang dengan PM TS Muhyiddin kalau betulpun apa salah? Mereka kan pembikin Bersatu?

“Kalau tambah dengan Presiden MUDA (Syed Saddiq Abdul Rahman) lagi baik. Bersatu kita. Carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga. Saya paling suka,” ciapnya menerusi Twitter. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here