
WARGA Selangor yang dikesan positif Covid-19 diminta untuk hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di daerah mereka menetap.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia bagi mengelak kesesakan dan memudahkan urusan.
“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan bagi meningkatkan kapasiti CAC dengan mengambil kira beberapa faktor utama seperti jumlah kakitangan atau sukarelawan perubatan serta lokasi yang sesuai,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, tular di media sosial orang ramai yang sah positif Covid menyerbu CAC Stadium Melawati di Shah Alam untuk mengetahui rawatan selanjutnya yang sepatutnya diterima mereka.
Malah difahamkan, ada pesakit yang perlu menunggu sehingga 11 jam untuk mendapatkan gelang pengesahan sebagai pesakit Covid-19.
Dilaporkan, ia jumlah tertinggi pernah dilaporkan untuk mendaftar masuk ke pusat berkenaan yang berkapasiti untuk menerima antara 1,500 hingga 2,000 orang sahaja. – Malaysiapost
