Kerajaan teliti isu doktor kontrak – Perdana Menteri

0
2

RAYUAN pegawai kesihatan kontrak agar mereka diserapkan terus ke dalam perkhidmatan awam, akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, terdapat beberapa aspek perlu diperincikan supaya satu keputusan yang munasabah dapat dicapai.

Beliau menjelaskan, antara faktor perlu diperhalusi ialah soal kos serta kekangan kewangan dihadapi kerajaan untuk menyerap kesemua doktor kontrak yang terlibat, lapor Astro Awani.

“Ada rayuan oleh doktor kontrak… saya cuma nak sebut, kertas oleh Kementerian Kesihatan (KKM) akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri. Mereka minta supaya jawatan (kontrak) mereka ditukar kepada jawatan tetap.

“Saya dah minta supaya dibawa ke Jemaah Menteri, bincang apa keputusan munasabah, (kerana) kehendak itu menyebabkan kos tinggi, memerlukan RM2 bilion, ada batasan sedikit.

“Tetapi kita tengok macam mana keadaan itu kita dapat diatasi,” katanya selepas melawat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) hari ini.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) hari ini berkata, mereka sedia mematuhi segala keputusan kerajaan berhubung isu pegawai kesihatan kontrak, yang dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok.

Pengerusi Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (SCHOMOS) Dr Vijay Ganasan berkata persatuan itu telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan dan dimaklumkan isu itu akan dibincangkan semasa mesyuarat Kabinet.

Pihaknya juga menggesa kerajaan menampilkan satu penyelesaian jangka panjang semasa persidangan Parlimen nanti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here