Hab e-Pembelajaran Premier HRD Corp e-LATiH capai 100,000 pengguna
HAB pembelajaran dalam talian, e-LATiH yang ditawarkan secara percuma oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah menjangkau lebih 100,000 pengguna.
Ia melibatkan rakyat pelbagai peringkat umur, latar belakang sosio ekonomi, pengalaman kerja dan kemahiran.
Hab yang dilancarkan pada Februari 2021 itu menyaksikan kenaikan penggunaan mendadak antara Mei dan Julai tahun ini, daripada 72,252 pengguna pada 28 Mei kepada 108,355 pengguna minggu ini, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan pada 1 Jun 2021.
e-LATiH dibangunkan HRD Corp dengan kerjasama Go1, salah satu agregator e-pembelajaran terbesar di dunia.
Ia mempunyai lebih 320 kursus merangkumi bidang kemahiran utama seperti Pembangunan Peribadi, Pengurusan Projek, Kepimpinan, Pemasaran & Inovasi, Pengaturcaraan, Digitalisasi, Kemahiran Kewangan, Bahasa, Komunikasi dan banyak lagi.
Keseluruhan pengguna terdiri 52 peratus wanita dan 48 peratus lelaki merangkumi rakyat Malaysia yang bekerja (70 peratus), tidak bekerja (23 peratus) dan bekerja sendiri (7 peratus), sekali gus menunjukkan sifat dinamik platform tersebut serta kemampuannya untuk menampung jumlah peserta yang pelbagai.
Daripada jumlah pengguna yang bekerja, lebih 26,000 (37 peratus) terdiri daripada pengurus dan profesional.
Platform ini bagaimanapun turut merekodkan penyertaan sejumlah besar pekerja perkhidmatan dan penjualan pada 12,637 (18 peratus) dan pekerja sokongan perkeranian pada 11,010 (16 peratus).
Rakyat yang tidak bekerja juga memanfaatkan platform kursus percuma ini untuk mempelajari kemahiran baru di samping meningkatkan prospek pekerjaan mereka.
Majoriti pengguna dalam kategori ini adalah pelajar dengan 9,227 pengguna (39 peratus) dan graduan baru 6,733 (28 peratus).
Menariknya, e-LATiH juga mencatat sejumlah besar golongan suri rumah yang menggunakan platform ini, iaitu 12 peratus daripada jumlah pengguna yang menganggur.
Mereka yang bekerja sendiri termasuk golongan yang bekerja dalam bidang pendidikan (18 peratus), perkhidmatan lain (seperti kedai bunga, pemandu pelancong dll) serta perkhidmatan penginapan atau makanan dan minuman (10 peratus).
Dalam pada itu, Selangor mencatatkan jumlah pengguna tertinggi iaitu 37,900 atau 37 peratus diikuti Kuala Lumpur dan Johor masing-masing sebanyak 13,810 pengguna (14 peratus) dan 8,976 pengguna (9 peratus).
Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, beliau gembira melihat kejayaan e-LATiH dalam beberapa bulan kebelakangan ini, terutamanya ketika rakyat memerlukan platform untuk meningkatkan pengetahuan dan prospek pekerjaan mereka di waktu yang mencabar dan sangat kompetitif ini.
“Saya berharap lebih ramai rakyat mendaftar dan memanfaatkan peluang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka menerusi e-LATiH dalam masa terdekat ini,” katanya.
Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood berkata e-LATiH dilaksanakan sebagai sebahagian daripada misi untuk memperluaskan peranan HRD Corp daripada memacu usaha pembelajaran dan peningkatan tenaga kerja kepada memberikan peluang meningkatkan kemahiran dan melatih semula untuk semua warga Malaysia.
“Walaupun platform ini agak baru, kami gembira ia mendapat sambutan sangat baik daripada masyarakat. Selain percuma dan mudah untuk digunakan, platform ini menawarkan ratusan kursus berkualiti tinggi dari pelatih dan penyedia latihan yang berwibawa di seluruh dunia.
“Ini menjadikan e-LATiH sesuai untuk rakyat tidak kira di mana mereka berada dari segi kehidupan, perjalanan kerjaya dan banyak lagi,” katanya.
Antara kursus popular di e-LATiH termasuk Microsoft Excel 365, Panduan Pemimpin Berkesan untuk Pengurusan Masa dan Kemahiran Penyampaian Berkesan.
Setakat ini e-LATiH merekodkan 181,549 pendaftaran dalam semua kursus.
Rakyat Malaysia yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut atau menjalani sendiri kursus e-LATiH’s boleh melayari https://elatih.hrdcorp.gov.my. – Malaysiapost

