2 juta dos vaksin akan diagih ke Selangor, KL, Negeri Sembilan – PM

0
1

TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kerajaan membeli dua juta dos vaksin tambahan dan akan diaagihkan ke Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembila bermula akhir bulan ini.

Perdana Menteri berkata, pembelian dos tambahan vaksin Covid-19 itu adalah komitmen kerajaan memastikan peningkatan kes negeri dengan kadar jangkitan tertinggi itu dapat ditangani segera.

Menurutnya, usaha itu juga bagi mempercepatkan peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di kawasan berisiko tinggi seperti Lembah Klang.

Muhyiddin hari ini mengadakan lawatan ke Bahagian Kecemasan serta Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang bagi melihat sendiri situasi di fasiliti kesihatan itu yang sebelum ini dilapor berdepan beberapa kesulitan seperti kekurangan katil di wad rawatan Covid-19.

“Alhamdulillah saya dimaklumkan bahawa arahan penambahan segera ventilator bagi kegunaan HTAR telah diselesaikan dan dihantar ke hospital ini susulan peningkatan pesakit Covid-19 di Klang kebelakangan ini.

“Pihak hospital juga memaklumkan kapasiti katil rawatan bagi wad Covid-19 Unit Rawatan Rapi (ICU) juga akan ditingkatkan dalam waktu terdekat, selain inisiatif menjadikan asrama doktor pelatih serta Kompleks Rawatan Harian HTAR sebagai wad sementara bagi merawat pesakit tersebut.

“Langkah segera ini tepat dan amat diperlukan dalam usaha memberi perkhidmatan dan rawatan terbaik kepada pesakit dan masyarakat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Lawatan tersebut turut disertai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba serta pengurusan tertinggi HTAR.

Pada masa sama, Muhyiddin berkongsi keyakinan usaha kerajaan mencapai tahap imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini berada pada landasan tepat apabila kadar vaksinasi negara terus mencatatkan peningkatan di mana semalam lebih 420,000 dos sehari berjaya diberikan.

Katanya, kadar vaksinasi harian tersebut antara yang tertinggi di dunia dan ini merupakan satu penanda aras yang sangat baik buat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan usaha kerajaan mencapai imuniti kelompok.

“Pencapaian ini atas kerja keras semua pihak termasuk rakyat secara keseluruhan yang semakin cakna dengan kepentingan mengambil suntikan vaksin Covid-19,” ujarnya.

Menerusi lawatan itu, Muhyiddin mengambil peluang berbual bersama petugas barisan hadapan yang berkongsi kesulitan serta cabaran yang dilalui mereka sepanjang menjalankan amanah mendepani penularan pandemik ini.

“Saya secara peribadi menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada mereka, tidak terkecuali kepada semua barisan hadapan lain yang terus cekal memberi perkhidmatan sejak pandemik ini melanda negara lebih setahun lalu. Terima kasih. Jasa, sumbangan dan pengorbanan anda tidak ternilai harganya.

“Saya mendoakan semua petugas barisan hadapan diberikan kesihatan dan kekuatan dalam meneruskan amanah ini. Amin,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here