PENGARAH Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengingatkan kepimpinan parti berhati-hati
dalam memutuskan kedudukan dalam Perikatan Nasional (PN) supaya tidak tersilap membuat keputuan seperti sebelum ini.
Beliau mengingatkan keputusan dibuat kepimpinan parti termasuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh mengakibatkan kehancuran Umno.
“Kalau kita tarik diri sekarang adakah kerajaan PN akan tumbang? Mereka mungkin boleh bekerjasama dengan DAP bagi mendapat persefahaman dan sokongan serta undi untuk kekalkan Perdana Menteri tanpa perlu DAP menyertai kerajaan.
“Jika itu berlaku, apa akan terjadi pada Umno, ini yang perlu dipertimbangkan selain masalah yang lebih besar iaitu ekonomi dan Covid-19 yang mana belum tentu Umno dapat atasinya dan jika gagal ia akan menjadi lebih buruk,” tegasnya dalam klip audio tersebar di media sosial.
Tajuddin berkata, beliau sedar majoriti Ahli Majlis Tertinggi dan Ahli Parlimen Umno bersetuju keputusan itu namun mereka perlu melihat kesannya dan tidak mahu Umno membuat kesilapan lagi.
“Saya tidak mahu ia terjadi, tetapi sejujurnya banyak keputusan yang dibuat sebelum ini adalah silap..masuk Perikatan Nasional silap; Muafakat Nasional kita tubuhkan kita tidak jaga baik-baik, silap; kita nak bekerjasama dengan Anwar pun silap.
“Terlalu banyak silap dan sekarang timbul idea ini (tarik sokongan kepada Perdana Menteri) pula. Maaf saya tak dapat ikut, dulu ikut sahaja sebab bahananya tidak begitu besar tetapi kali ini bahananya adalah kehancuran bagi Umno.
“Saya minta maaf Datuk Seri Presiden (Ahmad Zahid Hamidi)..saya tegaskan sekali lagi ini bukan bersifat peribadi kerana saya bekerja keras dan sentiasa menyokong Presiden selama ini.
“Tetapi kali ini saya mohon pendirian yang mungkin berbeza..sangat berbeza, tetapi bagi saya yang penting ialah kita nak menang pilihan raya,” katanya.
Beliau turut menegur Ahli Majlis Tertinggi Umno yang seolah-olah tidak menyukai pelantikan Naib Presiden Umno Datuk, Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Ini nak ulas ni…tiada siapa nak ucap tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri dilantik jadi Timbalan Perdana Menteri..kita tidak ucap terima kasih dan tahniah.Tengok dalam group Ketua Bahagian, berapa ramai Ketua Bahagian ucap tahniah.
“Adakah kita hendak abaikan sambutan daripada Ketua Bahagian..saya nak tanya anda mungkin tidak setuju tetapi di luar sana Bahagian dah ucap tahniah bermakna mereka gembira tetapi kita yang tidak gembira,” katanya.
Beliau berpendapat dengan ada pemimpin Umno menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, ia membuka peluang bagi parti itu menyampaikan perkhidmatan sebaik mungkin kepada rakyat dan meraih kembali sokongan rakyat.
“Kita minta dia (Ismail Sabri) kerja kuat-kuat pastikan sokong parti, kita pastikan ‘deliver’ kepada rakyat.Kerajaan sekarang bukan kerajaan Muhyiddin tetapi adalah kerajaan Ismail Sabri.
“Biar dia buat kerja..ini masanya Ismail Sabri hendak tunjuk Umno yang menguasai kerajaan, yang membela rakyat, membela parti, inilah masanya,” katanya. – Malaysiapost

