KONFLIK dalaman Umno dilihat semakin tegang dengan penularan klip audio Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mempertikaikan keputusan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana tidak sesuai pada waktunya.
Dalam klip berdurasi 15 minit itu, beliau secara terbuka tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan yang turut dikongsi segelintir ahli kerana seolah-olah membelakangkan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020.
Tegas Pengarah Pilihan Raya Umno itu, PAU2020 memutuskan parti itu menolak kerjasama dengan DAP, PKR dan Bersatu serta memberi mandat kepada Presiden serta Tertinggi menentukan tarikh menarik diri daripada kerajaan.
“Jadi tidak lari daripada itu, kita menyokong menarik diri. Siapa yang tidak bersetuju untuk menarik diri? Semua orang setuju…Ahli Majlis Tertinggi setuju, Ahli Parlimen setuju
“Cuma yang tidak bersetuju untuk buat pada masa sekarang. Ramai juga tadi yang berucap mengatakan bahawa ‘timing’ sekarang tidak sesuai tetapi Timbalan Presiden kata tidak peduli apa nak jadi, jadilah,” katanya dalam klip audio itu.
Klip audio itu dimuat naik di laman Facebook Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
https://www.facebook.com/100025347197222/posts/944803539707877/
Tajuddin berkata, kepimpinan parti perlu mempertimbangkan kesan keputusan menarik sokongan itu pada waktu sekarang malah tiada sebarang ketetapan menarik sokongan kepada Perdana Menteri pada PAU 2020.
“Ini sudah lain ni.Apakah ini tindakan mendesak kerana langkah tarik daripada kerajaan nampak seperti tidak boleh jalan, jadi kita ubah sedikit iaitu kita buat keputusan tarik sokongan kepada Perdana Menteri sahaja.
“Saya boleh rasa ini adalah tindakan taktikal dibuat setelah memikirkan bahawa untuk tarik daripada kerajaan itu tidak berjaya. PAU tidak kata tarik sokongan kepada Perdana Menteri, PAU kata tarik sokongan daripada kerajaan dan kita semua setuju ketika masa yang sesuai,” tegasnya.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu turut memberikan alasan Umno belum bersedia dari segi kekuatan jentera kerana tiada peruntukan kewangan untuk menghadapi pilihan raya
“Berapa banyak yang saya ada senarai kawasan parlimen yang tidak bersedia, nama-nama besar pun ada tidak mencapai lagi tahap undi asas untuk menang. Kita kata kita jaga parti..parti..parti..tetapi kerja tidak buat.
“Kita belum bersedia untuk pilihan raya, tetapi tindakan yang nak diambil ini adalah mendesak kepada pilihan raya, tetapi adakah kita sudah bersedia?” soalnya.
Tegasnya, beliau tidak kisah dimarahi kerana membangkitkan perkara itu dan menjelaskan tindakan keluar daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa kini hanya akan membawa masalah.
Pada 8 Julai lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Muhyiddin serta-merta.
Ahmad Zahid berkata, keputusan itu dibuat susulan mandat sebulat suara perwakilan Persidangan Agung Umno (PAU) 2020 dan setelah kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal memenuhi panduan utama digariskan sebagai syarat menyokong kerajaan PN.

