MENAHAN lapar dengan hanya berbekal dua paket mi segera. Itu situasi dialami seorang pengawal kelab malam yang terputus pendapatan dan terpaksa memohon bantuan makanan daripada aktivis, Kuan Chee Heng.
Dalam rayuannya yang menyentuh hati, lelaki itu meminta Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang menghulurkannya makanan kerana tidak mahu mencuri atau memeras ugut orang lain.
“Gangster lapar minta tolong. ‘Aku tinggal lagi dua paket mi segera sahaja.Tolonglah uncle. Aku tak nak curi atau samun atau peras ugut..aku nak makan uncle’.
“Dulu beliau jaga pub dan kelab malam jadi ada duit, kini tiada gaji (kerana) kelab malam dan pub pun tak buka.
“Mana ada tauke hendak bagi duit, tauke pun tak tahan dan bangkrap. Gangster ini merendahkan diri untuk
mohon bantuan makanan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Chee Heng berkata dia berjanji akan membantu lelaki itu dan individu lain dengan membuka satu syarikat yang menawarkan pelbagai perkhidmatan selepas PKP.
Jelasnya, syarikat beroperasi di Puchong, Selangor itu akan menawarkan pelbagai pekerjaan antaranya pemandu, penyelenggara pendingin hawa dan pengawal keselamatan untuk melindungi wanita daripada dibuli.
“Kita kumpul ‘Abang Long’ semua yang lapar bagi tugas lindungi wanita dan anak gadis dibuli teman lelaki..kenapa tidak?” katanya.- Malaysiapost

