BEKAS Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng gagal dalam permohonan memindahkan kes rasuah dihadapinya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin, menolak permohonan itu memandangkan Mahkamah Sesyen mempunyai mempunyai kelayakan undang-undang dalam membicarakan kes tersebut.
Dalam penghakimannya, beliau memaklumkan sebarang persoalan undang-undang boleh ditangani dan diputuskan oleh Mahkamah Sesyen dan Hakim Mahkamah Sesyen mempunyai kelayakan undang-undang dan sangat berpengalaman untuk membicarakan kes terhadap pemohon.
“Mahkamah mendapati pemohon gagal mematuhi Seksyen 417(1)(d) Kanun Acara Jenayah. Oleh yang demikian mahkamah menolak permohonan pindah kes oleh pemohon,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette hari ini.
Peguam Guan Eng, Gobind Singh Deo kemudian meminta mahkamah untuk menangguhkan kes di Mahkamah Sesyen esok sehingga permohonan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin tampil memberitahu mahkamah pihaknya sudah mempunyai saksi untuk perbicaraan minggu ini dan prosiding perlu diteruskan.
Hakim kemudian menetapkan permohonan prosiding hadapan Hakim Azura Alwi akan didengar esok.
Ahli Parlimen Bagan itu didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu. – Malaysiapost

