Tiada arahan undi pertahan kerajaan – PAS Selangor

0
1

TIADA arahan dikeluarkan PAS Selangor bagi meminta ahli atau penyokongnya untuk mengundi mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui undian yang dijalankan di laman Facebook Najib Razak.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahrir yang menafikan terdapat arahan sedemikian seperti mana mesej yang tular di media sosial hari ini.

“PAS Selangor tak pernah keluar arahan,” katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai dakwaan berkenaan.

Terdahulu tular di media sosial mengenai mesej memohon ahli atau penyokong PAS yang mempunyai akaun Facebook kononnya arahan daripada Penerangan PAS Selangor untuk mengundi ‘Tak Gagal’ dalam undian mengenai kerajaan PN gagal mengurus Covid-19 dan gagal mengurus kesejahteraan hidup rakyat.

Arahan itu turut menyertakan pautan undian berkenaan yang dibuat bekas Perdana Menteri itu di laman Facebooknya sejak semalam.

Najib pada petang semalam memulakan satu undian yang akan berakhir dalam tempoh lima hari lagi dan setakat ini seramai 262,000 pemilik akaun Facebook telah mengundi.

“Rata-rata menteri tak bersetuju maka kita serahkan soalan ini pada rakyat.

“Adakah kerajaan PN gagal mengurus Covid-19 dan gagal mengurus kesejahteraan hidup rakyat?” tulis Najib dalam undian berkenaan.

Setakat jam 4 petang hari ini, 77 peratus memilih kerajaan PN gagal menguruskan Covid-19 dan kesejahteraan rakyat, manakala 23 peratus daripada jumlah pengundi memilih kerajaan tak gagal. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here