PENDUDUK di Taman Sri Andalas, Klang melahirkan kebimbangan apabila sebuah dewan serbaguna di taman itu dijadikan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).
Menerusi perkongsian di Facebook, seorang penduduk dikenali dengan nama Lilyzwan Shamsudin melahirkan kebimbangan susulan pusat CAC tersebut dibanjiri oleh orang ramai, dipercayai positif Covid-19.
Dia turut mempertikaikan bagaimana dewan yang berhampiran dengan taman perumahan dipilih untuk dijadikan pusat CAC.
Lilyzwan turut memuat naik gambar dan video yang memaparkan orang ramai beratur panjang sehingga ke kawasan perumahan di situ.
“Ni bukan beratur untuk buat swab test atau nak dapatkan vaksin tau. Ni memang yang dah confirm positif Covid-19. Di CAC ni yang akan mengklasifikasi tahap pesakit Covid-19 untuk menentukan pengurusan pesakit yang seterusnya, termasuk kelulusan rawatan di rumah.
“Yang tak fahamnya kenapa buat CAC PKD Klang di kawasan perumahan yang padat dengan penduduk? Ngeri kami yang tinggal di kawasan ini. Kami penduduk tempatan ni pun ada urusan harian perlu diselesaikan,” katanya.
Tambahnya lagi, situasi itu bukan sahaja mengganggu rutin harian, malah menyebabkan penduduk bimbang wabak itu mudah merebak dan menjangkiti mereka.
“Cuba bayangkan kami nak sidai pakaian, nak sapu sampah depan rumah, nak keluar nak cari barang keperluan atau nak pergi kerja, kalau kereta tengah parking di luar, selisih bahu dengan yang positif, suruh tepi sikit sebab nak alih kederaan.
“Serius la? Nak merisikokan kami penduduk di Taman Sri Andalas. Benda ni bukan sehari dua ok,” katanya.
Justeru, Lilyzwan berharap pihak yang bertanggungjawab dapat memberi perhatian keadaan di CAC berkenaan yang kritikal ketika ini.
“Tolong Menteri Besar Selangor, Ahli Parlimen Kota Raja Abang Mat (Mohamad) Sabu, Adun Sungai Kandis buka sikit mata dan jangan ambil mudah perkara ini.
“Penat mental fizikal kami berkurung dah berbulan ni. Kami ni selagi boleh cegah, kami cegah. Dah la duduk rumah.
“Kalau dah macam ni nak buka pintu rumah pun takut.. Lagi koyak la mental kami,” katanya. – Malaysiapost

