Tarik sokongan bukan untuk adakan PRU15 segera – Zahid Hamidi

0
2
zahid hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, keputusan yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada Khamis lalu adalah menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, tidak timbul soal Umno mendesak untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika pandemik Covid-19 masih berleluasa.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, rumusan keputusan yang dibuat adalah mudah untuk difahami iaitu Umno umum tarik balik sokongan kepada Perdana Menteri dengan sokongan ditamatkan serta merta berdasarkan tujuh sebab mustahak.

“Gagal menangani pandemik Covid-19, menyalahgunakan Ordinan Darurat, gagal mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan gagal menguruskan bantuan serta tuntutan rakyat.

“Sebab lain ialah gagal memberi keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat, gagal mengurus kestabilan politik dan ekonomi serta memperkotak-katik titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, selepas Muhyiddin berundur, Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh terhad dan akan fokus kepada usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik.

“Menangani Covid-19 secara inklusif dan memastikan proses vaksinasi rakyat disegerakan.

“Setelah mencapai imunisasi kelompok barulah Perdana Menteri baharu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan PRU15,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, ia bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat membentuk sebuah kerajaan yang stabil kerana penting untuk memastikan Malaysia bangkit semula daripada kesan pandemik.

“Jadi, mana datang cerita Umno tarik balik sokongan supaya PRU15 diadakan semasa pandemik sedang berleluasa?” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here