PPN akan sia-sia jika moratorium tanpa faedah tidak diberikan – Guan Eng

0
2

PELANTIKAN Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai Menteri Penyelaras bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya akan berkesan untuk mengeluarkan negara dari kemelesetan ekonomi jika moratorium pinjaman bank adalah tanpa faedah.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berpendapat, moratorium tanpa faedah itu boleh menyelesaikan masalah kewangan pekerja dan perniagaan yang mengalami pengurangan pendapatan.

Menurutnya, rakyat berdepan hilang atau kurang pendapatan jika mereka diberhentikan kerja dan begitu juga perniagaan mengalami pengurangan aliran tunai secara drastik serta penutupan perniagaan juga adalah ancaman yang benar.

“Namun, beberapa bank masih mencatatkan keuntungan tertinggi bagi suku pertama tahun ini, menyambung keuntungan selepas cukai yang sihat sebanyak RM32.3 bilion dan lebih daripada RM23 bilion pada tahun 2019 dan 2020.

“Masanya sudah tiba bagi Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertindak berani dan mengarahkan Bank Negara untuk mengarahkan industri perbankan mengecualikan faedah semasa moratorium pinjaman bank kecuali kumpulan 20 yang teratas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, jika langkah itu tidak diambil, maka mana-mana PPN yang menawarkan bantuan kewangan tidak akan bermakna dan sia-sia.

“Ia akan bertujuan hanya untuk melindungi keuntungan bank dengan mengorbankan lapan juta individu dan syarikat Malaysia yang mengharapkan bantuan daripada moratorium pinjaman,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Jumaat lalu mengumumkan Tengku Zafrul dilantik sebagai menteri penyelaras bagi PPN seperti diputuskan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai PPPN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tengku Zafrul akan bertanggungjawab memantau pelaksanaan strategi dan bantuan, serta mengambil langkah intervensi bersesuaian dengan situasi pandemik Covid-19 yang sangat dinamik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here