PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 55 tahun ke bawah boleh membuat permohonan pengeluaran i-Citra bermula tengah malam tadi.
Inisiatif jangka pendek bagi membantu pencarum yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19 itu, dibuka tiga hari lebih awal daripada tarikh ditetapkan KWSP.
Sejak permohonan dibuka tengah malam tadi, laman media sosial KWSP dibanjiri pelbagai persoalan serta cadangan daripada orang ramai berhubung permohonan berkenaan.
Bagi memudahkan urusan pemohon, KWSP turut menyertakan pautan panduan kepada pengguna sebagai rujukan dalam usaha memastikan pemohonan yang dibuat tidak berdepan masalah.
Terdahulu, Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, memaklumkan permohonan itu boleh dibuat melalui laman sesawang icitra.kwsp.gov.my.
“Bagi memudahkan permohonan dalam talian i-Citra, ahli dinasihatkan untuk memastikan nombor telefon bimbit mereka adalah sama seperti dalam rekod KWSP bagi urusan penerimaan One-Time Password (OTP), di samping mempunyai akaun bank yang masih aktif untuk bayaran pengeluaran terbabit.
“i-Citra membolehkan ahli yang layak untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP mereka sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam Akaun 1 dan 2,” katanya.
Tinjauan di media sosial KWSP mendapati, kebanyakan pemohon tidak berhadapan masalah rumit dalam membuat permohonan berkenaan berbanding ketika inisiatif i-lestari dan i-sinar diperkenalkan.
Namun, mungkin disebabkan trafik kunjungan tinggi di pautan berkenaan, ada antara pemohon mendakwa tidak dapat menembusi laman berkenaan tengah malam tadi sebelum ia kembali lancar awal pagi tadi.
Malah, orang ramai menerusi ruangan komen media sosial KWSP turut menggalakkan pemohon menggunakan pautan terus daripada laman sesawang berbanding menggunakan aplikasi sekiranya berdepan kesukaran untuk menekan butang ‘tutup’ diakhir pengesahan.
Sementara itu, orang ramai menzahirkan kelegaan dengan inisiatif i-Citra yang disifatkan dapat membantu rakyat ‘bernafas’ khususnya bagi mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Selain itu, ada juga yang meminta KWSP meluluskan permohonan ‘lumpsum’ RM5,000 kerana pemberian berperingkat RM1,000 sebulan tidak mencukupi untuk menampung kos hidup terutama di bandar.
Dalam pada itu, netizen juga berharap KWSP mempertimbangkan untuk menaikkan kadar RM5,000 kepada satu jumlah lebih besar khususnya kepada mereka yang mempunyai caruman simpanan tinggi .
“Ingatkan ade perubahan amuan 5k one off…..pls tolong buat penambahan 5k lgi one off,” tulis Normohdadam Adam.
“Alhamdulillah dah isi walaupun duit utk hari tua tp keadaan memaksa utk keluarkan,” kata Ifa Khalifah.
“Mana yang ada masalah “TUTUP” itu kamu cuba buka link guna Google Chrome dan isi mana yang patut then submit. Selesai.” kata Ronn De Jan.
KWSP memaklumkan pembayaran pertama i-Citra dijangka dikreditkan ke dalam akaun bank pencarum mulai bulan depan.
Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar sehingga lima kali bayaran iaitu sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan.
Untuk maklumat lanjut mengenai i-Citra serta cara membuat permohonan, pencarum boleh merujuk laman komunikasi rasmi KWSP di laman sesawang www.kwsp.gov.my atau menghubungi talian hotline i-Citra di 03-8922 4848.
i-Citra diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu.
Ia adalah inisiatif jangka pendek bagi membantu pencarum yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19 serta mengimbangi keperluan masa kini dan masa depan ahli. – Malaysiapost

